Anda di sini

'Miring' diadakan sempena Ekspo Tatu Antarabangsa Kuching 

Advertisement
Cudjuy (kiri) dan Michelle dari Amerika Syarikat. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
Cudjuy (kiri) dan Michelle dari Amerika Syarikat. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Upacara 'miring' telah diadakan sempena Ekspo Tatu Antarabangsa Kuching mengikut adat resam dan pantang larang masyarakat Iban.

Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Tajai Sarawak Themotty Jagak berkata, 'miring' merupakan satu doa memohon kebaikan daripada 'petara' dalam kepercayaan animisme.

"Ia selalunya dipersembahkan untuk mana-mana acara atau program yang dianjurkan seperti acara ini.

"'Miring' adalah doa, mencari sesuatu yang baik daripada Yang Maha Kuasa, atau seperti kata orang Iban, ‘petara’ atau dewa asal.

"Ia adalah satu doa agar mendapat keberkatan yang mencukupi untuk menjalankan usaha kita dalam keadaan sejahtera dan selamat," katanya ketika ditemui semasa ekspo tersebut, hari ini.

Beliau yang juga merupakan duta Gabungan Orang Asal Sabah Sarawak (GOASS) menjelaskan upacara itu diserikan dengan memainkan alat muzik tradisional masyarakat Iban seperti 'gendang', gong, atau 'taboh'.

"Ini sebagai isyarat mengalu-alukan serta menghormati roh nenek moyang kita dan menyambut kedatangan semua tetamu yang dihormati yang hadir di sini," jelasnya.

Timo (kiri) dan Rachel dari Belanda. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
Timo (kiri) dan Rachel dari Belanda. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

Majlis juga dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian ngajat yang menawan hati, disertai oleh para hadirin.

Di samping itu, banyak gerai dibuka menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan.

Ada yang menampilkan makanan dan minuman yang menyelerakan, manakala yang lain mempamerkan aksesori manik tradisional dan juga wangian, menambah daya tarikan bagi acara tersebut.

Di dalam dewan, banyak artis studio tatu yang mengambil bahagian, termasuk studio tatu dan gerai bertindik menjadi tarikan utama acara tersebut.

Di luar ruang dewan, artis tatu tradisional mempraktikkan kraf mereka dalam suasana terbuka.

Horimyo dari Jepun. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
Horimyo dari Jepun. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

Selain itu, acara itu menarik peserta dari seluruh dunia, menjadikan ia lebih meriah untuk dihadiri.

Sementara itu, Cudjuy Patjidres dari Taiwan yang ditemani penterjemahnya Michelle Davis dari Amerika Syarikat memberitahu pemberita beliau telah berkecimpung di dalam seni tatu selama 10 tahun.

Di Taiwan, seni tatu di lukis pada bahagian badan yang berlainan mengikut jantina.

"Ini merupakan keaslian dari Taiwan di mana kaum lelakinya akan bertatu di badan sementara wanita cuma dibenarkan bertatu di tangan yang mana bermaksud penjaga," katanya.

Disebabkan minat yang mendalam, Cudjuy turut mendapatkan tatu kombinasi budaya Taiwan dengan Mauri dari New Zealand di mukanya.

Bagi Rachel de Bruijn, 32, dan Timo van Rheenen, 36, dari Belanda kedua-duanya memulakan bibit cinta mereka menerusi minat yang sama iaitu bertatu.

Timo yang telah berkecimpung di dalam seni tatu selama tujuh tahun memperkenalkan Rachel kepada Boi Skrang, penganjur Ekspo Tatu Antarabangsa Kuching untuk mempelajari lebih mendalam tentang seni tatu unik dalam kalangan masyarakat Dayak di sini.

Ketua Miring Akik Lagai Rang (dua kiri) melakukan upacara 'miring' bersama Boi (kiri). - Gambar Mohd Faisal Ahmad
Ketua Miring Akik Lagai Rang (dua kiri) melakukan upacara 'miring' bersama Boi (kiri). - Gambar Mohd Faisal Ahmad

Pasangan itu pernah menyertai Konvensyen Tatu Benua Borneo 2023 yang diadakan pada September lalu di Dewan Masyarakat MBKS.

"Kami sukakan Sarawak kerana cuacanya yang sangat berbeza daripada negara kami dan sudah tentu terdapat banyak kehijauan selain layanan masyarakat majmuk dan mesra di sini," kata Timo.

Timo mempunyai kelebihan pada tatu fusion, sementara Rachel amat sukakan tatu Iban yang mana beliau pelajari daripada Boi dan ingin menyebarkannya ke seluruh dunia.

Dengan misi itu, pasangan itu akan kembali sekali lagi ke Miri pada Oktober depan untuk mempelajari lebih banyak tentang seni tatu masyarakat Iban Sarawak.

Berbeza dengan Horimyo Bunshinshi, 48, dari Saitama, Jepun misinya adalah untuk membawa seni tatu Jepun yang menjadi peragaan golongan Yakuza dahulu sehingga ia diharamkan di negara matahari terbit itu, ke sini.

"Saya pernah bersua dengan Boi sebelum ini di satu konvensyen tatu di luar negara dan beliau mempelawa saya untuk ke sini dan turut serta.

"Sudah tentu saya berasakan ini adalah misi saya selama 23 tahun mempraktikkan tatu tradisional menggunakan tangan yang dikenali sebagai 'hibori' di negara kami.

"Dahulunya anak muda kami tidak menyukai tatu tetapi sekarang ia diiktiraf sebagai seni dan kebudayaan dalam masyarakat Jepun dan diterima oleh semua rakyatnya," katanya.

Di Jepun tatu yang dimiliki oleh setiap individu mempunyai saiz yang minimal dan tidak boleh dilakukan sesuka hati, ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement