Anda di sini

Tiong berbesar hati PSB sertai PDP

Advertisement
TIONG
TIONG

BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berasa berbesar hati dengan keputusan Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).

Presiden PDP itu berkata, langkah tersebut membuka lembaran baharu dalam perjalanan politik kedua-dua pihak mengukuhkan kestabilan dan kedudukan parti pada masa depan. 

"Saya yakin penggabungan kedua-dua parti ini memperkukuh kekuatan kami serta membina kerjasama erat antara pihak-pihak terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, keputusan ini perlu diterima dengan positif dan semua ahli parti diseru supaya menyambut baik penyertaan PSB bagi memastikan kedudukan parti lebih terjamin pada masa depan.

Beliau dengan penuh harapan ingin melihat semua ahli parti kedua-dua pihak menjalinkan kerjasama erat bagi terus memperkasa parti.

"Marilah kita semua berganding bahu bagi mengukuhkan kedudukan PDP secara keseluruhannya," jelasnya.

Katanya, amalan politik lama harus diubah dan semua pihak digesa mempraktikkan corak politik matang dan menyeluruh demi kepentingan rakyat. 

Kehadiran PSB dalam PDP diyakini mampu membawa impian ke arah kestabilan parti dan politik Sarawak secara keseluruhannya demi merealisasikan impian Sarawak menjadi sebuah negeri  stabil dari segi politik dan maju pada masa depan.

"Semua pihak harus meneruskan kerjasama demi mencapai corak politik harmoni tanpa mengira bangsa dan latar belakang dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memperkasa perjuangan parti," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement