Anda di sini

Naratif Aidilfitri

Advertisement
 


Oleh: Yusuf Mustanir

SYAWAL, gema takbirnya membelah angkasa. Bertali arus. Direnungnya sebuah potret berbingkai di ruang tamu rumahnya. Potret seorang wanita yang rambutnya perang. Wajah wanita itu seiras Sofia Jane, artis tanah air yang pernah membintangi beberapa buah filem Melayu pada suatu ketika dahulu. Gema takbir Syawal semakin syahdu. Kedengaran dari setiap masjid dan surau berhampiran lokasi kediamannya. Gugur air matanya apabila gema takbir itu bagaikan menyentuh kalbunya.
    Terpancar di skrin mindanya. Lebih empat puluh tahun yang lalu. Ketika itu dia bergelar mahasiswa. Usianya awal 20-an. Dia antara ratusan mahasiswa Malaysia yang menuntut di Great Britain atas tajaan kerajaan. Tidak dinafikan pada waktu itu memang terdapat beberapa buah universiti awam bertaburan di tanah air. Namun, dia bertuah kerana terpilih untuk melanjutkan pelajarannya di England. Tidak kurang juga rakan sekolahnya terpilih untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat dan Australia. Tetapi, dia terpilih untuk meneruskan pengajiannya di England. Semasa masih menuntut di sekolah rendah, ayahnya selalu menimang-nimang untuk menghantarnya belajar di London, pascapeperiksaan Senior Cambridgenya dengan terlebih dahulu mengikuti pengajian A-Level. Ayahnya tidak berpeluang menyaksikannya melanjutkan pengajian ke England.  Ketika berada di Tingkatan Satu, ayahnya meninggal dunia. Perkara itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat universiti.
    “Mak, Aidilfitri depan tak dapat berhari raya dengan mak dan adik-adik.”
    Ibunya yang berstatus balu bagaikan terjatuh dari menara tinggi mendengar luahan hati anak sulungnya itu. Berombak-ombak dada ibunya. Seribu satu persoalan tiba-tiba menyapa ibunya. Ibunya tidak mengerti makna yang tersirat di sebalik ucapan anak sulungnya itu. Tidak pernah sepanjang kehidupan mereka sekeluarga menyambut hari raya berjauhan atau terpisah antara satu dengan yang lain. Lebih-lebih lagi setelah kematian suaminya dalam usia yang muda.
    Wajah ceria ibunya dengan sekelip mata pudar. Sepatutnya dia tidak menimbulkan kejutan begitu kepada ibunya. Semenjak kematian ayahnya, ibunya bertungkus lumus untuk menyara kehidupan mereka adik-beradik dengan hanya bergantung kepada wang persaraan ayahnya. Ibunya telah banyak berkorban untuk memastikan mereka cukup makan. Begitu juga dengan belanja sekolah serta kelengkapan persekolahan. Disebabkan ayahnya meninggal dalam usia muda maka wang persaraan yang diwarisi oleh ibunya tidak penuh. Oleh itu, ibunya harus bijak mengatur perbelanjaan harian. Keutamaan ibunya, makan minum harian anak-anak dan persekolahan mereka.
    Namun, apabila menjelang Aidilfitri, ibu memastikan mereka juga menikmati kari daging dan rendang ayam seperti kanak-kanak yang lain. Walaupun daging sapi yang dibeli hanya kerapen namun sekurang-kurangnya juga mereka menikmati juadah raya. Sedihnya, sebagai anak sulung, dia terpaksa mengalah apabila ibu hanya membeli baju raya untuk adik-adiknya. Dia amat faham akan kesulitan ibu dari segi kewangan. Tidak semudah itu untuk ibunya menyara sepuluh orang anak. Lebih-lebih lagi apabila menjelang Aidilfitri. Ibunya akan terlebih dahulu mengutamakan adik-beradiknya. Mereka terlalu kecil untuk mengerti keperitan ibu. Lagipun, ibu mahu anak-anaknya menyambut Aidilfitri dalam suasana gembira. Oleh itu, dia dan ibunya harus mengalah dari segi pakaian baharu. Biarkan adik-adiknya sahaja berbaju dan berkasut baharu pada pagi Aidilfitri. 
    Gema takbir Aidilfitri kedengaran berkumandangan di seluruh bangunan Malaysia Hall London di Bryanston Square, London melenyapkan lamunannya. Harapannya, ibu dan adik-adik di Kuching telah menerima kad Aidilfitri yang diutuskannya dua minggu yang lalu. Dia juga ada menerima kad Aidilfitri daripada ibu dan adik-adiknya. Selain itu, beberapa tin biskut yang dikirim ibunya baru diterima pagi semalam. Begitu juga dengan sebotol acar buah yang dibuat oleh adik perempuannya. Lebih daripada itu, ibunya tidak mampu. Gugur air matanya apabila terkenang ibu dan adik-adiknya.     
    Jauh di sudut hatinya dia ingin menikmati kari daging yang ibunya masak setiap kali menjelang Aidilfitri. Walaupun daging itu sekadar kerapen, iaitu sisa-sisa daging, namun hanya itu yang ibunya mampu membeli di Pasar Cekor. Harapannya, setelah tamat pengajian, dia akan dapat menyambut Aidilfitri bersama ibu dan adik-adiknya di tanah air.
    Selesai solat sunat Aidilfitri, dia bersama-sama pelajar lain dari Malaysia yang berada sekitar London menikmati juadah Aidilfitri di kafeteria Malaysia Hall, London. Selepas itu dia berkunjung ke Pejabat Pesuruhjaya Malaysia di London yang penuh dengan penduduk Malaysia. Ketika menikmati juadah yang dihidangkan di kafeteria Malaysia Hall, dia terserempak dengan seorang gadis yang sedang menikmati makanan. 
    Gadis yang berambut perang itu bagaikan pernah dia kenali. Wajahnya tidak mencerminkan gadis Melayu. Gadis itu berbaju kurung dan tinggi lampai. Matanya tidak lari daripada terus memandang gadis itu. Nasib baik puasa telah sehari berlalu. Kalau tidak, tentu puasanya batal kerana mencuri pandang gadis yang berwajah kacukan itu. Tetapi, dia memandang wajah gadis itu bukan atas dorongan nafsu mahupun atas dasar keghairahan. Dia menatap wajah gadis itu untuk mengimbau jika dia pernah mengenalinya. Selain itu, dia amat teruja akan keayuan yang dimiliki gadis itu. Keinginannya untuk terus menikmati juadah Aidilfitri terbantut. Dia hanya menjamah ketupat dan sedikit rendang daging. Berombak-ombak dadanya. Jauh di sudut hatinya, tercetus keinginan untuk mendekati gadis itu. Tetapi, dia berasa segan. Dia takut kalau gadis itu tidak akan mempedulikannya. Lagu raya bergema di seluruh kafeteria Malaysia Hall. Perasaan pilu terhadap kampung halaman di Kuching tiba-tiba terubat dengan kehadiran gadis itu pada pagi Aidilfitri. 
    Gadis itu sudah tidak ada di tempat duduknya setelah dia melayan sapaan dan ucapan Selamat Hari Raya Adilfitri daripada seorang pelajar Malaysia yang juga menuntut di salah sebuah universiti di London. Menyesal juga dia berbual dengan pelajar senegaranya itu. Akibat daripada perbualan singkat itu, gadis itu dengan sekelip mata hilang daripada pandangannya. Liar matanya memburu kelibat gadis itu di seluruh kafeteria Malaysia Hall. Terasa kecewa menyapa. Kerinduan terhadap kampung halaman bagaikan berdarah semula. Namun, dia cuba berfikir secara positif. Tentu gadis itu sedang ke bilik air apabila dia gagal mengesan gadis itu di sudut jamuan. Mungkin juga gadis itu sedang bersolek atau mengatur gincu bibirnya. Tetapi, dia tidak nampak gadis itu bergincu. Jangan-jangan gadis itu melepaskan hajat. Itu antara persoalan yang muncul di kotak fikirnya. Hampir 30 minit dia menunggu kemunculan gadis itu. Denyutan jantungnya terasa semakin ganas. Beberapa orang sahabat menyapanya. Mereka bertanya kenapa dia tidak menambah makanan. Sebelum itu, dia memberitahu semua rakannya bahawa dia akan menikmati setiap juadah Aidilfitri yang tersaji di kafeteria Malaysia Hall sebelum melakukan perkara yang sama di Pejabat Pesuruhjaya Malaysia. 
    Sebahagian daripada mereka yang telah menjamu selera di kafeteria Malaysia Hall mulai beredar untuk ke suatu lagi majlis sambutan Aidilfitri, iaitu di Pejabat Pesuruhjaya Malaysia di London. Beberapa kali teman-temannya memanggil namanya untuk berangkat ke Pejabat Pesuruhjaya Malaysia tetapi dia bagaikan tidak mendengar panggilan mereka. Matanya masih memburu kelibat gadis itu. Dia tidak akan berganjak dari kafeteria itu selagi belum berjumpa dengan gadis itu. Itu tekadnya. Rakan-rakannya terus memanggil namanya. Dia tetap tidak mempedulikan panggilan daripada rakan-rakannya itu. 

 


    “Mungkin gadis itu sudah berada di perkarangan Pejabat Pesuruhjaya.” Salah seorang daripada rakannya bersuara. 
    Mungkin ada kebenaran pendapat rakannya itu, fikirnya. Dia dengan berat hati mengekori rakan-rakannya keluar dari situ. Walau bagaimanapun, matanya terus memburu persekitaran Malaysia Hall untuk mengesan gadis itu.
    Dia terkejut apabila terlihat gadis itu sedang berbual-bual dengan rakan-rakannya yang menunggunya di luar Malaysia Hall. Menyesal dia apabila tidak terus keluar dari kafeteria ketika diajak oleh teman-temannya. Sebaliknya dia berdegil untuk terus berada di dalam kafeteria mencari gadis itu. Apabila sahaja berdiri di hadapan gadis itu dan juga teman-temannya, dia terus memperkenalkan dirinya. Gadis itu pula memperkenalkan dirinya sebagai Anna Maria. Anak seorang pegawai British yang pernah berkhidmat di Kuching sebelum tertubuhnya Malaysia. Ibu gadis itu berketurunan Iban dan berkahwin dengan seorang pegawai British yang bekerja di pejabat pos di Kuching. Mereka pernah tinggal di Jalan Rodway berdekatan dengan Hosiptal Umum Sarawak.
    Sah bahawa Anna Maria itu rakan sepermainannya semasa kecil. Ayahnya dan ayah Anna Maria bersahabat baik sebab berkerja di bangunan yang sama, iaitu Pejabat Besar Pos tetapi berlainan tugas. Ayahnya pegawai kastam dan ayah Anna Maria pula pegawai pos. Hampir setiap hujung minggu, ayahnya membawa dia dan ibunya berkunjung ke rumah keluarga Anna Maria di atas bukit di Jalan Rodway. Di situlah dia berkenalan dengan Anna Maria dan menjadi sahabat baik zaman kanak-kanak. Setiap Aidilfitri, Anna Maria akan berkunjung ke rumahnya di Kampung Bintangor di Jalan Datus. Apabila tiba hari Krismas, dia sekeluarga pula berkunjung ke rumah Anna Maria. Hubungan mereka tidak kekal. Beberapa tahun selepas penubuhan Malaysia, Anna Maria mengikut ayah dan ibunya pulang ke London. Selepas itu, Anna Maria tidak pernah lagi datang ke Kuching. Walaupun ibunya berasal dari Sarawak, tetapi dia terus tinggal di London sehingga meninggal dunia. Di luar Malaysia Hall itu, Anna Maria memohon maaf kepadanya kerana gagal untuk mengenalinya ketika menikmati juadah di kafeteria. Memang kelaziman Anna Maria berkunjung ke kafeteria Malaysia Hall setiap pagi Aidilfitri. Di situ, dia dapat mendekatkan diri dengan rakyat Malaysia, khususnya dari Sarawak. Lebih-lebih lagi jika berpeluang untuk bertemu dengan mereka yang berasal dari Kuching. Dengan itu, dia akan bertanya tentang rumah-rumah di atas bukit di Jalan Rodway. Salah sebuah daripada rumah itu pernah Anna Maria diami bersama keluarganya semasa kecil.
    “Kenapa cepat sangat keluar dari kafeteria tadi?” Dia menyoal Anna Maria.
    “Sebab saya tidak nampak orang Sarawak di dalam tadi.” Anna Maria mengukir senyum.
    “Eh, bukankah saya orang Sarawak dan kita pernah menjadi sahabat karib semasa zaman kanak-kanak?” Dia menghulurkan sekeping gambar hitam putih yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki Melayu dan seorang kanak-kanak perempuan Serani dari dompetnya kepada Anna Maria.
    “Ya, saya pun masih ada gambar ini di rumah saya.” Anna Maria terharu.
    “Yakah?” Dia bagaikan tidak percaya.
    “Betul. Nampaknya kita ditakdirkan berjumpa semula di hadapan Malaysia Hall, bukan di dalam sana.” Anna Maria mengesat air mata di pipinya. 
    Semenjak pertemuan pagi Aidilfitri di Malaysia Hall itu, dia terus membina semula persahabatan semenjak zaman kanak-kanak mereka. Anna Maria menghadiri majlis konvokesyennya. Di majlis konvokesyen itu, Anna Maria menghadiahinya sekeping potret peribadi Anna Maria sendiri untuk dibawanya pulang ke Kuching. Selain itu, Anna Maria berjanji akan berkunjung ke Kuching menjelang Aidilfitri akan datang. Anna Maria juga rindu untuk melihat semula sebuah rumah di atas bukit di Jalan Rodway yang pernah didiaminya sekeluarga. Dia telah menyampaikan khabar pertemuan semulanya dengan Anna Maria kepada ibunya. Ibunya ingat akan Anna Maria dan keluarganya. Lebih-lebih lagi ibu Anna Maria yang menjadi sahabat keluarga mereka. Tali persahabatan kedua-dua keluarga tersebut terputus apabila Anna Maria sekeluarga kembali ke London beberapa tahun selepas tertubuhnya Malaysia.
     Masih jelas di ruang ingatannya betapa kuat tangisan Anna Maria di lapangan terbang kerana tidak mahu meninggalkan Kuching. Dia mahu tinggal di Kuching. Dia sendiri pun gugur air mata melihat Anna Maria meronta-ronta tidak mahu menaiki pesawat yang bakal berlepas ke Singapura. Dari Singapura, Anna Maria sekeluarga akan menaiki pesawat British Airways yang akan terbang ke London. Ibu Anna Maria memberitahu anak tunggalnya yang masih kecil itu bahawa mereka tidak boleh lagi tinggal di Kuching selepas ayahnya bersara. Mereka bukan warganegara Malaysia tetapi warganegara British. Selepas mendengar penjelasan ibunya, Anna Maria berteriak mahu menjadi warganegara Malaysia. Dia tidak mahu menjadi warganegara British. Gugur air mata mereka yang berada di sekitar lapangan terbang mendengar keinginan Anna Maria itu. Namun, Anna Maria tetap didukung oleh ayahnya menaiki pesawat walaupun dia menangis sekuat hati tidak mahu meninggalkan Kuching. Itu kali terakhir pertemuan mereka sehinggalah bertemu semula pada pagi Syawal di Malaysia Hall, London.
    Potret Anna Maria digantungnya di ruang tamu rumah mereka setibanya dari London. Tersenyum ibunya melihat anak sulungnya itu sentiasa memandang ke arah potret Anna Maria. Ibunya faham akan perasaan anak sulungnya itu yang baru sahaja diterima bekerja di salah sebuah firma guaman di Kuching. Ibu dan adik perempuannya merancang pelbagai juadah untuk Aidilfitri yang bakal menjelma. Adik perempuannya yang mahir membuat beraneka kuih-muih akan membuat kek kegemaran abang sulungnya selain acar buah. Ibunya pula akan memasak kari daging dengan menggunakan kari yang dibeli dari Kedai Kari Hajah Sehat berhampiran Masjid Negeri, Kuching. Kali ini, ibunya akan menggunakan daging lembu segar.
    Seminggu menjelang ketibaan Anna Maria dari London, setiap hari jantungnya berombak-ombak. Baju kurung untuk Anna Maria menyambut Aidilfitri telah pun dibeli oleh ibunya yang sedondon dengan mereka sekeluarga. Ibunya juga telah menempah tudung keringkam untuk Anna Maria. Setiap hari dia memerhatikan baju kurung dan tudung keringkam khas untuk Anna Maria.
    Anna Maria dijangka tiba tengah malam dari Kuala Lumpur, setiba dari London. Semenjak kembali dari London, dia dan Anna Maria sentiasa berutus surat dan seminggu sekali berhubung menerusi telefon. Itulah dua cara mereka melepaskan rindu antara satu dengan yang lain. Semenjak ibu bapa Anna Maria meninggal dunia, Anna Maria tinggal dengan keluarga sepupu sebelah ayahnya. Apabila tiba di Kuching nanti, dia berjanji akan membantu Anna Maria mengesan keluarga Iban sebelah ibunya yang sekian lama terputus.
    Entah berapa kali dia berusaha menghubungi Anna Maria menerusi panggilan telefon. Tiada berjawab. Hari penerbangan Anna Maria ke Kuching semakin dekat. Ramadan berada di penghujungnya. Dia tetap berfikiran positif walaupun jauh di sudut hatinya dijarah kebimbangan. Matanya terus merenung ke arah potret Anna Maria yang tergantung di dinding ruang tamu rumah mereka. Di dapur, adik perempuannya sibuk membuat beberapa jenis kek untuk menyambut bakal kakak iparnya dari London menjelang Aidilfitri.
Tiba-tiba telefon rumah mereka berdering. Terpancar kegembiraan di wajahnya. Dia pasti itu panggilan jauh dari London. Itu tentu panggilan daripada Anna Maria. Itu memang panggilan dari London. Tetapi bukan suara Anna Maria. Berombak-ombak dadanya. Gugur air matanya deras di pipi. Ibu dan adik-adiknya kehairanan. Itu panggilan daripada sepupu Anna Maria, iaitu Josephine. Anna Maria meninggal dunia akibat barah tahap empat. Barah ganas yang menyerang Anna Maria baru dikesan beberapa hari yang lalu.
    Itulah naratif di sebalik potret seorang wanita yang tergantung di ruang tamu lebih empat puluh tahun yang lalu. Potret yang sentiasa ditatap oleh ayah saudara saya, seorang peguam dan juga abang sulung emak saya. Semenjak menerima berita kematian Anna Maria, dia terus membujang. Apabila disoal tentang bab kahwin, jawapannya, belum ada jodoh. Gema takbir Aidilfitri dari siaran TV dan lagu raya menandakan satu Syawal sudah tiba. 
“Maaf zahir dan batin, Pak Wak.” Saya menjabat erat tangan abang sulung emak saya. Dia mengukir senyum dan menjabat erat tangan saya sambil menyerahkan sampul raya berwarna hijau yang lazim dilakukannya setiap tiba Aidilfitri walaupun saya sudah melangkah dewasa.

 
 
Advertisement