Anda di sini

GPS belum terima arahan bantu kempen PRK

Advertisement

Fadillah tidak dapat mengulas lanjut mengenai kempen PRK Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei 

Fadillah menyampaikan sumbangan geran pada  Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim hari ini. -Gambar Roystein Emmor
Fadillah menyampaikan sumbangan geran pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim hari ini. -Gambar Roystein Emmor

“Saya sik mok komen (tidak mahu beri komen)… belum ada sebarang direction (arahan) untuk itu, setakat ini. Kita tunggu sahaja."

Dato Sri Fadillah Yusof
Ketua Whip GPS
 

Oleh Marlinda Mardzuki

KOTA SAMARAHAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum menerima sebarang arahan sama ada turun membantu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei depan.

Ketua Whip GPS Dato Sri Fadillah Yusof berkata, justeru beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. 

“Saya sik mok komen (tidak mahu beri komen)… belum ada sebarang direction (arahan) untuk itu, setakat ini. Kita tunggu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim di Pusat Khidmat ADUN Stakan di sini, hari ini.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberi bayangan akan bertanding semula di kerusi itu di bawah tiket Pakatan Harapan (PH).

Pada 22 Mac, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka tidak akan menuntut kerusi Kuala Kubu Baharu dan memberi laluan kepada rakan parti penyandang dalam Kerajaan Perpaduan iaitu DAP.

Pada masa yang sama, Sayap Pemuda MCA mengambil pendirian untuk tidak menyertai kempen menjelang PRK DUN Kuala Kubu Baharu itu. 

Ketua Pemudanya Ling Tian Soon memaklumkan pihaknya tidak akan membantu kempen PRK di Kuala Kubu Baharu sekiranya calon daripada BN tidak diketengahkan di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, DAP juga akan mengumumkan calon yang akan mewakili PH pada Rabu depan.

Terdahulu, seramai 5,000 tetamu pelbagai bangsa dan agama hadir memeriahkan majlis ramah-tamah itu yang berlangsung sehingga jam 3 petang.

Fadillah yang hadir turut menyempurnakan penyerahan geran secara langsung (OG) kepada 68 penerima terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk masjid, surau dan rumah ibadat di kawasan Stakan.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut adalah Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin dan tetamu kehormat lain.
 

Advertisement