Anda di sini

Hala tuju sama demi kemajuan negeri

Advertisement

Ia faktor penting bolehkan kerajaan jayakan agenda-agenda pembangunan di bawah PCDS 2030

(Dari kiri) Kaunselor Leslie Lau, Abdul Rahman, Lukanisman, Radzali, Lee, Goh dan Ariffin pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di premis PMM di Jalan Kipas, Miri hari ini.
(Dari kiri) Kaunselor Leslie Lau, Abdul Rahman, Lukanisman, Radzali, Lee, Goh dan Ariffin pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di premis PMM di Jalan Kipas, Miri hari ini.

"Kestabilan,  perpaduan,  keharmonian,  bersatu padu, hala tuju sama iaitu bersama-sama berusaha memajukan Sarawak.” 

Dato Sri Lee Kim Shin
Menteri Pengangkutan Sarawak 

Oleh Steve Annuar

MIRI: Rakyat pelbagai kaum di negeri ini harus memiliki hala tuju yang sama demi kemajuan dalam negeri berpendapatan tinggi. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia merupakan faktor penting untuk membolehkan kerajaan negeri menjayakan agenda-agenda pembangunan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).

"Kestabilan,  perpaduan,  keharmonian,  bersatu padu, hala tuju sama iaitu bersama-sama berusaha memajukan Sarawak.

“Kalau kita ada hala tuju sama, berusaha bersama, kita tentu boleh berjaya," jelas Lee ketika berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Melayu Miri (PMM) hari ini.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, tali persaudaraan antara kaum di negeri ini sangat rapat yang menjadikan Sarawak istimewa berbanding negeri-negeri lain. 

Hubungan erat itu membolehkan setiap kaum meraikan hari kebesaran dan perayaan dengan suasana meriah dan gembira.

"Ini yang paling penting. Tali persaudaraan rakyat di Sarawak sangat rapat tidak kira kaum dan agama.

"Kita duduk bersama meraikan perayaan bersama.

"Perayaan telah menjadi platform untuk kita memperkukuhkan tali persaudaraan dan semangat perpaduan dan keharmonian," jelasnya. 

Lee dalam ucapannya turut mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada PMM sebagai dana penganjuran aktivitinya. 

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni, Temenggung Datuk Abdul Rahman Fadzail, Presiden Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri Datuk David Goh, Timbalan Datuk Bandar Ariffin Mohamad dan Yang Dipertua PMM Radzali Alision.
 

Advertisement