Anda di sini

Kerajaan Sarawak pertimbang hantar pelajar lanjutkan pengajian pascasiswazah di luar negara

Advertisement
Abang Johari (barisan hadapan lima kanan) merakam kenangan bersama sebahagian pelajar Sarawak yang belajar di universiti-universiti di Leeds, United Kingdom. Turut kelihatan Awang Tengah (barisan hadapan, enam kanan) Mohamad Abu Bakar (barisan hadapan, empat kanan) dan Fazzrudin (kanan). -Gambar Pejabat Premier Sarawak
Abang Johari (barisan hadapan lima kanan) merakam kenangan bersama sebahagian pelajar Sarawak yang belajar di universiti-universiti di Leeds, United Kingdom. Turut kelihatan Awang Tengah (barisan hadapan, enam kanan) Mohamad Abu Bakar (barisan hadapan, empat kanan) dan Fazzrudin (kanan). -Gambar Pejabat Premier Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertimbang untuk menghantar pelajar dari negeri ini yang berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda ke luar negara bagi melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia usaha seterusnya dilakukan kerajaan Sarawak selepas pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma bagi anak-anak Sarawak yang menunutut di universiti milik Sarawak bermula 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 15 pelajar Sarawak yang menuntut di universiti-universiti di Leeds, United Kingdom serta kawasan sekitarnya semasa majlis makan tengah hari di sebuah hotel di sana, pada Sabtu (waktu tempatan).

"Pelajar-pelajar pascasiswazah ini akan menjadi antara golongan terpelajar bagi membentuk teras modal sumber manusia Sarawak untuk membolehkan Sarawak terus maju dengan usaha ekonomo baharu," katanya menurusi kenyataan dikeluarkan dalam Facebook Rasmi Pejabat Premier Sarawak pada Sabtu.

Menjelas lanjut mengenai ekonomi baharu dimaksudkannya, Abang Johari berkata  ia merupakan ekonomi yang dibina daripada sumber boleh diperbaharui dan kelestarian alam sekitar serta pendigitalan.

Sarawak ujarnya  memerlukan lapisan kedua pemimpin dalam sektor korporat dan kerajaan untuk memajukan lagi ekonomi negeri.

Menyentuh mengenai penubuhan Pusat Penyakit Berjangkit Tropika Sarawak di Kota Samarahan, dekat sini, beliau berkata pusat itu akan memerlukan bakat-bakat dalam bidang farmasi, kimia, biologi dan mikrobiologi.

Keperluan kepada bakat dalam bidang-bidang itu penting bagi membolehkan pusat berkenaan mempunyai kapasiti membangunkan vaksin-vaksin baharu untuk penyakit-penyakit tropika, ujarnya.

Sementara itu, dalam ruang tenaga boleh diperbaharui, beliau menyifatkan Sarawak mendahului negeri lain di Malaysia dalam semua parameter undang-undang ditetapkan.

Beliau menambah apabila lulusnya undang-undang baharu tenaga boleh diperbaharui nanti, pastinya khidmat bakat baharu dalam bidang berkaitan amat diperlukan.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari memberitahu para pelajar yang hadir pada majlis itu mengenai tujuan lawatan beliau sepanjang minggu di Leeds, London dan Poland.

Beliau dan rombongan tiba di Leeds, United Kingdom pada malam Jumaat dan  jadual awal mereka ialah mengadakan lawatan ke loji kuasa Drax, dekat Leeds. Loji ini  mendapat kuasa daripada sumber biomas.

Kemudian beliau serta rombongan bertolak ke London dalam usaha mencari kerjasama dengan syarikat-syarikar British untuk membangunkan semikonduktor kompaun sebelum ke Poland bagi mengambil bahagian dalam Forum Hidrogen Eropah Tengah.

Hadir sama pada majlis makan tengahari itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.
 

Advertisement