Anda di sini

Muzium Budaya Borneo catat satu juta pengunjung 

Advertisement

Catat satu lagi sejarah semalam apabila menerima pelawat yang ke satu juta sejak dibuka pada 9 Mac 2022

Abdul Karim (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada keluarga Noor Azirah (tiga kanan) yang merupakan pelawat ke satu juta Muzium Budaya Borneo.
Abdul Karim (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada keluarga Noor Azirah (tiga kanan) yang merupakan pelawat ke satu juta Muzium Budaya Borneo.

“Ini adalah hari yang bersejarah bagi muzium kerana bukan mudah untuk merekodkan satu juta pelawat.”  

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 

Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Muzium Budaya Borneo mencatatkan satu lagi sejarah semalam apabila menerima pelawat yang ke satu juta sejak dibuka pada 9 Mac 2022. 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hadir menyambut pelawat ke satu juta semalam iaitu Noor Azirah Mohamad Ali Kenapiah, 34, dari Kampung Hulu Tebelu, Sebuyau. 

Noor Azirah berkunjung ke muzium tersebut bersama suami dan dua anak perempuannya dan tiba pada jam 10.55 pagi. 

Menurut Abdul Karim, selepas menunggu sekian lama, semalam Muzium Budaya Borneo telah menerima pelawat yang ke satu juta. 

“Ini adalah hari yang bersejarah bagi muzium kerana bukan mudah untuk merekodkan satu juta pelawat. 

“Harapan saya, rakyat Sarawak dan pengunjung yang lain akan sentiasa dapat melawat muzium ini untuk melihat khazanah dan sejarah berkaitan dengan Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima pelawat ke satu juta di Lobi Muzium Budaya Borneo bersama Pengarah Muzium Sarawak Nancy Jolhi. 

Abdul Karim turut menyampaikan beberapa hadiah kepada Noor Azirah dan keluarganya iaitu satu unit telefon pintar dan tablet, satu baju kemeja daripada Kedai Hadiah Muzium dan satu botol air daripada Restoran Muzium. 

Bagi menarik lagi kehadiran pelawat ke muzium tersebut, Jabatan Muzium Sarawak menurut Abdul Karim akan berusaha meningkatkan populariti atau apa yang ada di muzium tersebut. 

Selain daripada itu, Jabatan Muzium juga katanya akan sentiasa mengatur program-program tertentu termasuk persidangan antarabangsa berkaitan muzium dengan kerjasama agensi-agensi lain. 

Dari segi jumlah negara pelawat, sebanyak 152 negara pelawat mengunjungi muzium ini dengan pelawat paling ramai adalah dari Indonesia diikuti Singapura, United Kingdom dan Australia. 

Manakala jumlah kutipan bayaran masuk dikumpul setakat ini ialah sebanyak RM5,861,369.00, satu jumlah yang besar berbanding muzium lama sebelum ini. 

Dalam pada itu Muzium Budaya Borneo dibuka setiap hari termasuk cuti umum kecuali pada Hari Raya Aidilfitri (Hari Pertama), Tahun Baharu Cina (Hari Pertama), Hari Pekerja, Hari Gawai (Hari Pertama), Hari Ulang Tahun Yang di-Pertua Negeri, Hari Kemerdekaan dan Hari Krismas. 
 

Advertisement