Anda di sini

Dimensi Kepimpinan Pendidikan Berwawasan dalam Hikayat Panglima Nikosa

Advertisement
 

Oleh: Sara Beden

Pengenalan

ZURAIDAH ABDULLAH, Zahir Ahmad dan Nuwairi Khaza’ai (2012) dalam penekunan terhadap pantun dan ungkapan Melayu mendapati pemimpin Melayu begitu rapat dengan adat yang menjaga adab orang Melayu sehingga memancarkan keperibadian, harga diri dan kekuatan diri yang membentuk jati diri Melayu. Penemuan ini menunjukkan pemimpin Melayu menjadi contoh teladan yang selalu diidam-idamkan dan meniti dari bibir ke bibir. Justeru, kepemimpinan Melayu mempunyai karakteristik yang tersendiri dalam membangunkan modal insan yang mementingkan penguasaan ilmu pengetahuan. Perkara ini memprojeksikan bahawa orang-orang Melayu telah lama menjadikan ilmu mahupun pendidikan sebagai budaya kehidupan. Tujuannya, untuk memastikan generasi muda menjadi sumber tenaga manusia yang berkebolehan, berakhlak mulia dan menyepadukan kepentingan jasmaniah bagi melahirkan pemimpin unggul dalam kalangan masyarakat Melayu.

Tuntasnya, makalah ini mengemukakan perbincangan berkaitan dimensi pendidikan berwawasan oleh seorang pemimpin yang berwibawa dalam novel Hikayat Panglima Nikosa (HPN) dengan menggunakan Prinsip Kepimpinan dalam pendekatan pengurusan yang diketengahkan oleh Mohamad Mokhtar (2013).  Hikayat Panglima Nikosa dianggap sebagai novel Melayu terawal karangan Ahmad Shawal Abdul Hamid dan diterbitkan pada tahun 1876 atau lebih tepat dicetak batu (litografi) pada 30 Jun 1876 di Bukit Persinggahan, Kampung Boyan Kuching. Novel ini telah berusia 148 tahun pada tahun 2024.

Dimensi Pendidikan dalam Pendekatan Pengurusan

Pendekatan pengurusan dalam kritikan kesusasteraan berasaskan kepada ilmu pengurusan (Mohamad Mokhtar Abu Hasan, 2016). Rahim Abdullah (1998) mendefinisikan pengurusan sebagai aktiviti yang melibatkan usaha merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal penglibatan anggota yang berada dalam organisasi untuk bersama-sama berusaha mencapai matlamat yang satu. Pendekatan ini mengandungi lima prinsip, iaitu Prinsip Perancangan, Prinsip Kepimpinan, Prinsip Pengorganisasian, Prinsip Penstafan dan Prinsip Kawalan. Makalah ini membataskan perbincangan dengan mengaplikasikan Prinsip Kepimpinan.

          Pendefinisian dan pentakrifan kepimpinan sama ada oleh sarjana Barat mahupun sarjana tempatan menjurus kepada proses mempengaruhi, mengetuai, memantau, menggerakkan dan pengupayaan tingkah laku untuk mengubah hala tuju dalam usaha mencapai objektif dan matlamat organisasi. Penggerak kepimpinan ialah pemimpin yang dapat dirangkumkan sebagai pemegang tampuk pentadbiran, penguasa, peneraju, pengetua, pengarah dan pengurus. Daya dan gaya kepimpinan yang dipraktiskan oleh pemimpin dalam menggerakkan orang bawahannya memberikan impak yang besar kepada pencapaian pengurusan yang cekap, berwibawa, progresif dan efektif. Prinsip Kepimpinan ada empat dimensi, iaitu (i) Dimensi pentadbiran, (ii) Dimensi pendidikan, (iii) Dimensi tanggungjawab sosial dan (iv) Dimensi ekonomi. Walau bagaimanapun, makalah ini hanya mengaplikasikan dimensi pendidikan sebagai landasan perbincangan.  

Dimensi pendidikan memberikan penekanan terhadap peranan dan tindakan seorang pemimpin dalam menuntut ilmu, mendapatkan sumber ilmu dan usaha memastikan rakyatnya berilmu sama ada secara formal atau sebaliknya. Sharifah Alwiah Alsagoff (1993) membuat penjelasan dalam bukunya yang bertajuk Falsafah Pendidikan memerihalkan pendidikan sebagai satu proses atau aktiviti yang melibatkan persekolahan formal. Pendidikan juga sebagai proses latihan perkembangan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang individu. Hal ini signifikan kerana pendidikan juga dilihat sebagai aktiviti yang bersepadu untuk mencapai matlamat seperti memperoleh kemahiran pengetahuan dan sikap secara integrasi selain membentuk personaliti individu yang komprehensif.

Analisis terhadap teks HPN ini memberikan fokus kepada aspek struktur teks seperti peristiwa dan watak yang bertindak mengembangkan plot dalam peristiwa yang berkaitan dengan idea-idea pendidikan. Dalam HPN, idea tentang pendidikan formal dan tidak formal amat signifikan dan diberi penekanan oleh pengarangnya menerusi watak Panglima Nikosa. Idea pendidikan ini mencerminkan bahawa pengurusan dan perancangan dalam bidang pendidikan sudah wujud sejak zaman silam dalam persuratan Melayu.

Dimensi Pendidikan dalam Hikayat Panglima Nikosa

Dimensi pendidikan dalam HPN ditelusuri menerusi dasar pendidikan berwawasan yang dipraktiskan oleh Panglima Nikosa. Dasar ini diperlihatkan menerusi pendidikan formal dan tidak formal. Sharifah Alwiah Alsagoff (1993) menghuraikan pendidikan sebagai proses atau aktiviti yang melibatkan persekolahan formal. Pendidikan juga sebagai latihan untuk perkembangan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang individu. Oleh itu, pendidikan formal, tidak formal, pendidikan dunia dan ilmu akhirat sewajarnya diberikan penekanan dalam bidang pendidikan.

Dasar Pendidikan Berwawasan

Seorang pemimpin atau pentadbir dalam keluarga sewajarnya memiliki ciri-ciri pentadbir yang memiliki wawasan dalam pendidikan terhadap ahli keluarga dan rakyatnya. Wawasan dalam pendidikan berupaya mengubah keadaan sedia ada kepada situasi yang lebih baik. Dasar pendidikan dalam HPN diperlihatkan menerusi pendidikan formal dan tidak formal.

Pendidikan Formal

Pendidikan formal dalam HPN diperlihatkan menerusi usaha Panglima Nikosa memberikan pendidikan kepada anak-anaknya. Idea kepentingan pendidikan menjadi agenda seorang pemimpin yang berwawasan dan berkaliber. Panglima Nikosa memberikan pendidikan formal kepada anak-anaknya sebagaimana yang terdapat dalam petikan berikut:

Maka semua anak-anaknya itu mendapat pelajaran yang baik daripada guru-guru yang mengajarnya membaca dan menulis serta dengan cerdiknya bekerja dalam segala pasal yang besar dan kecil dan terlebih pandai daripada orang-orang banyak. Maka sebab itu iapun dapat mengajar kepada orang-orang kemudian hari. (hlm.14)

Pendidikan formal, iaitu membaca dan menulis yang diberikan kepada anak-anaknya menjadikan anak-anaknya cerdik dan menjadi bijak pandai daripada orang lain. Anak-anaknya bukan hanya pandai dan bijak, malah bekerja dalam pelbagai bidang yang penting sama ada kecil mahupun besar. Kepandaian anak-anaknya membolehkan mereka mengajar dan menyebarkan ilmu kepada orang lain. Tindakan ini menunjukkan bahawa ilmu yang diperoleh itu dimanfaatkan untuk kebaikan dan merangsang pembelajaran sepanjang hayat. Mok (2008) merumuskan bahawa pendidikan ialah proses atau aktiviti yang menunjukkan usaha untuk memperkembangkan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang individu serta menambahkan kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan pengalaman supaya dapat memberikan kegembiraan, faedah dan kemajuan dalam kehidupannya. Justeru, Panglima Nikosa pada zamannya sudah memanifestasikan ciri-ciri pemimpin yang berwawasan untuk kebaikan masa depan anak-anaknya.

Pendidikan Tidak Formal

Pendidikan tidak formal amat signifikan dalam HPN. Panglima Nikosa memperlihatkan kewibawaannya dalam mendidik dan membimbing anak-anak buahnya agar mereka memiliki kehidupan yang makmur dan sejahtera. Pendidikan tidak formal kepada penduduk Jalanan Baharu diteliti menerusi nasihat tentang erti sebenar kehidupan di dunia ini, yang menuntut manusia agar tidak lupa daratan. Pendidikan tidak formal memainkan peranan penting dalam pembangunan insan dan masyarakat. Pendidikan tidak formal membolehkan individu untuk memperoleh kemahiran khusus atau pengetahuan tambahan yang mungkin tidak diajar dalam pendidikan formal. Kombinasi antara pendidikan formal dan tidak formal dapat memberikan perspektif yang lebih kaya dan menyeluruh kepada seseorang untuk bersedia menghadapi cabaran dalam kehidupan. Pendidikan tidak formal kepada penduduk Jalanan Baharu dapat diteliti menerusi petikan berikut:

Akan tetapi pada waktu ini siang mengganti malam dan janganlah pula senang itu lupa masing-masing akan pekerjaan diri kamu sebab tiada bekerja dan tiada akal yang cerdik dan lurus tiadalah mendapat sesuatu apa-apa yang menjadi pesaka ke turun temurun kepada anak cucu kemudian daripada jiwa telah hilang. (hlm. 12)

Berdasarkan petikan ini, Panglima Nikosa sentiasa menasihat, mengingat dan berpesan kepada anak-anak buahnya agar tidak lupa daratan setelah mengecapi kesenangan demi kelangsungan hidup mereka pada masa depan. Panglima Nikosa meminta mereka agar terus berusaha, bekerja dan menjalankan tanggungjawab dan berfikiran bijaksana dalam setiap tindakan untuk diwarisi generasi seterusnya.  Pesanan yang sama turut terdapat pada halaman 10 novel ini. Panglima Nikosa sentiasa mengulang dan mengingatkan penduduk kampung agar bijaksana dan jujur bagi mendapatkan sesuatu yang boleh diwarisi anak cucu mereka nanti. Penduduk kampung harus melestarikan kesenangan yang dikecapi mereka agar masa hadapan anak cucu mereka nanti lebih cerah.

 

Pendidikan tidak formal juga dapat ditelusuri menerusi tindakan Panglima Nikosa mendidik, mengajar, membimbing dan menasihati Pilina dari Sungai Tuku yang datang mengadu tentang kesusahan dan kemiskinan hidupnya. Panglima Nikosa menasihati Pilina tentang hakikat kehidupan bahawa dia harus melakukan pekerjaan bagi mendapat kesenangan dan keselesaan hidup kerana Allah juga mengkehendaki umat-Nya untuk berusaha di dunia. Buktinya terdapat dalam petikan berikut:

Maka dengan sepatut-patutnya engkau membalas kasihan Tuhan dan dengan betul mengerjakan pekerjaan yang disuruh-Nya dan lagi mencari supaya engkau dengan bini engkau mendapat senang dan cukup makan.

          Maka demikianlah sekelian hai pencarian di dalam dunia yang telah diperintahi dan diletaki oleh Tuhan yang amat kuasa dan maha besar. Maka sebab itu patutlah sekelian manusia menerima dan memakai dengan sesungguh-sungguh hatinya supaya berkat kepadanya. (hlm. 18)

Berdasarkan petikan di atas, Panglima Nikosa menasihati dan mengingatkan Pilina tentang kebesaran Tuhan yang menganugerahkan manusia kekuatan agar berusaha untuk mendapatkan rezeki. Manusia harus berusaha, bekerja dan menggunakan anugerah kurniaan Allah dengan sebaik-baiknya dan semaksimumnya demi mendapatkan keberkatan dan masa depan yang cerah. Panglima Nikosa menegaskan bahawa manusia harus mencari dan mendapatkan segala nikmat dan anugerah Allah di dunia ini dengan bersungguh-sungguh dan cekal agar mendapat keberkatan.

Pendidikan tidak formal oleh Panglima Nikosa juga merangkumi hubungan manusia dengan alam ciptaan Tuhan dan anugerah Tuhan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya. Kewujudan alam adalah berhubung secara langsung dengan konsep ciptaan dan Pencipta. Dengan kata lain, kewujudan alam sebagai makhluk mempunyai falsafahnya tersendiri dan dikaitkan dengan konsep ketuhanan yang merujuk kepada Allah SWT sebagai Pencipta. Nasihat Panglima Nikosa tentang alam ciptaan Tuhan sebagai pendidikan tidak formal kepada Pilina terdapat dalam petikan berikut:

Maka lihatlah segala tanah dan air dan panas daripada matahari dan hujan dari langit dan ikan-ikan yang di dalam air dan unggas-unggas yang di udara dan mergastua yang di dalam hutan. Maka sekaliannya itu pusaka daripada Tuhan kepada hamba-Nya yang diam di dalam dunia ini dengan percuma melainkan hendaklah manusia itu bekerja dengan tulangnya sendiri serta dengan akalnya melawan sekalian kesusahan dan kelelahan yang bertemu sepanjang umur seperti melawan musuh yang hendak mencuri barang-barang atau membunuh orang negeri engkau. Dan hendaklah engkau melawan binatang yang hendak merosaki kebun engkau dan hendaklah engkau melawan tanah dengan tulang yang kuat dan hati yang benar. Maka jikalau engkau hendak mendapat keuntungan daripada berladang atau berkebun maka hendaklah engkau bertanam biji-biji juga dan menanti lama serta memeliharanya sebelum biji itu menjadi pokok yang akan memberi keuntungan kepada engkau serta bini engkau. (hlm. 19)

Berdasarkan petikan ini, Panglima Nikosa memberikan pendidikan tidak formal kepada Pilina tentang hakikat anugerah dan kurniaan Allah kepada manusia. “… tanah dan air dan panas daripada matahari dan hujan dari langit dan ikan-ikan yang di dalam air dan unggas-unggas yang di udara dan mergastua yang di dalam hutan.” merupakan kurniaan dan anugerah Tuhan kepada manusia yang sewajarnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Setiap kejadian dan ciptaan Tuhan memiliki fungsi dan kegunaannya kepada kelangsungan hidup manusia. Justeru, manusia sebagai pengguna sumber alam terbesar dituntut agar menggunakan kebijaksanaan semasa bertindak ke atas alam dengan memanfaatkan dan menghormati alam. Nasihat Panglima Nikosa ini bertujuan untuk mengingat dan menasihati anak buahnya agar peka selain menunjukkan betapa pentingnya kewujudan alam sebagai asas logik agar manusia berfikir tentang kewujudan Tuhan yang memberikan sumber rezeki kepada hamba-Nya.

Ajaran dan didikannya termasuklah melengkapkan diri dengan kekuatan, daya tahan dan kecekalan menghadapi apa-apa cabaran sebagaimana berlawan dengan musuh. Panglima Nikosa menganalogikan tindakan melawan kesusahan dengan usaha mengalahkan musuh sebagaimana dalam dialog berikut, “… melawan sekalian kesusahan dan kelelahan yang bertemu sepanjang umur seperti melawan musuh”. Gagasan ini memanifestasikan bahawa seseorang yang berdaya tahan akan berkemampuan untuk mempamerkan tingkah laku yang positif terhadap sebarang bentuk kesukaran, cabaran mahupun halangan. Joyce et al. (2018) menegaskan bahawa ketahanan menggambarkan kemampuan individu untuk bangkit semula bagi menyesuaikan diri dengan keadaan yang menekan secara positif.

Panglima Nikosa mengajar Pilina agar bertanam dan berkebun dengan penuh kesabaran jika mahukan keuntungan sebagaimana dialog berikut, “Maka jikalau engkau hendak mendapat keuntungan daripada berladang atau berkebun maka hendaklah engkau bertanam biji-biji juga dan menanti lama serta memeliharanya sebelum biji itu menjadi pokok yang akan memberi keuntungan kepada engkau”. Panglima Nikosa memberikan panduan kepada Pilina tentang kaedah untuk mendapatkan keuntungan agar kehidupannya lebih senang pada suatu hari kelak. Setiap sesuatu hasil tidak akan datang bergolek, namun memerlukan usaha dan kesabaran.

Kesimpulan

Ringkasnya, pendidikan formal dan tidak formal amat signifikan dan bermakna dalam usaha individu hendak mengubah situasi kehidupannya agar menjadi lebih baik. Pendidikan tidak formal menerusi elemen nasihat, bimbingan dan peringatan mahupun pesanan kepada masyarakat oleh seorang pemimpin merupakan elemen penting dalam membina masyarakat yang berpengetahuan, mahir dan berdaya maju. Kombinasi elemen-elemen ini dapat menyumbang kepada perkembangan individu, pemugaran potensi dan kemajuan masyarakat secara menyeluruh yang sekali gus berupaya memangkinkan pembangunan individu dan komuniti. Panglima Nikosa menginspirasikan anak-anak buahnya dengan membuat negeri Jalanan Baharu dan sentiasa mengingatkan mereka tentang masa hadapan anak cucu mereka. Idea transformasi menyerlah apabila terbentuknya negeri Jajahan Baharu. Panglima Nikosa juga menginspirasikan Pilina yang miskin dengan berfikir jauh ke hadapan dalam melakukan sesuatu pekerjaan sehingga mencapai kemajuan dan bebas daripada kemiskinan. Idea transformasi dalam pendidikan telah menyebabkan masa hadapan Pilina semakin cerah. Hikayat Panglima Nikosa merupakan sebuah rakaman, garapan dan kanvas daya intelektual dan gagasan idea Ahmad Shawal Abdul Hamid dalam wawasannya untuk menggerakkan masyarakat agar berfikir dan bertindak demi kemakmuran dan kesejahteraan hidup.

 
 
Advertisement