Anda di sini

Indeks kesejahteraan sosial diperkasa: Fatimah

Advertisement
Fatimah merakamkan gambar kenangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof dan tetamu kehormat lain pada majlis perasmian Kembara Perpaduan Program Rumah Terbuka Aidilfitri dan Food Unites Sarawak 2024 Sempena Sambutan Minggu Perpaduan di Kuching.
Fatimah merakamkan gambar kenangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof dan tetamu kehormat lain pada majlis perasmian Kembara Perpaduan Program Rumah Terbuka Aidilfitri dan Food Unites Sarawak 2024 Sempena Sambutan Minggu Perpaduan di Kuching.

KUCHING: Kerajaan Sarawak bertekad untuk memperkasakan kajian indeks kesejahteraan sosial di Sarawak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti  (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, ia bagi memastikan  kesejahteraan rakyat Sarawak sentiasa diberi perhatian sewajarnya dan dapat dipertingkatkan dari tahun ke tahun.

Menurutnya, KPWK telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Swinburne Sarawak Sdn Bhd dan meminta mereka menjalankan kajian indeks kesejahteraan sosial untuk Sarawak.

“Dalam laporan awal yang diterima, kita dimaklumkan bahawa kesejahteraan sosial dalam masyarakat Sarawak didapati telah meningkat berbanding dengan 2019. 

“Dan peningkatan sebeginilah yang mahu kita capai apatah lagi ia menjadi alat penting untuk mengukur kesan aspirasi keterangkuman sosial di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kembara Perpaduan Program Rumah Terbuka Aidilfitri dan Food Unites Sarawak 2024 Sempena Sambutan Minggu Perpaduan, di sini, malam Ahad.

Sehubungan itu, Fatimah melahirkan rasa gembira melihat badan-badan kebajikan sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta atau badan korporat menganjurkan banyak program kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat berbilang kaum terutama golongan rentan di Sarawak.

“Justeru, saya minta agar semangat untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama seperti ini harus kita terus pupuk.

“Sebab apa yang anda lakukan, adalah menyumbang  kepada ekosistem yang akan menggalakkan keterangkuman sosial di Sarawak,” katanya.

Berkenaan majlis Kembara Perpaduan itu, Fatimah yakin ia dapat menyemarakkan lagi semangat perpaduan serta mengelakkan konflik dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya.

“Saya difahamkan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Darul Takzim pada 23 hingga 27 Mei 2024 nanti,” katanya.

Sarawak tambahnya, merupakan lokasi kedua selepas Sabah mengadakan Kembara Perpaduan Food Unites Sempena Sambutan Minggu Perpaduan  2024.

“Jadi, harapan saya sebagai Menteri yang menjaga perpaduan di Sarawak agar program ini dapat terus memelihara keharmonian yang telah kita kecapi selama ini. 

“Sesungguhnya perbezaaan dan konsep penerimaan inilah yang mengukuhkan jalinan perpaduan dan menjadikan Malaysia negara yang sangat unik dan istimewa di mata dunia,” kata beliau.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof, bersama tetamu kehormat yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement