Anda di sini

Pendidikan kepentingan kesihatan buah pinggang dipergiat

Advertisement

Ia bertujuan mengurangkan bilangan pesakit buah pinggang dengan mewujudkan kesedaran yang lebih baik

Lau (lapan kanan) merakam kenangan bersama pesakit buah pinggang dan ahli keluarga mereka serta kakitangan SKF dan ahli Lembaga Pemegang Amanah sebelum menyelusuri Sungai Igan menggunakan bot persiaran.
Lau (lapan kanan) merakam kenangan bersama pesakit buah pinggang dan ahli keluarga mereka serta kakitangan SKF dan ahli Lembaga Pemegang Amanah sebelum menyelusuri Sungai Igan menggunakan bot persiaran.

“Kita semua tahu apabila seseorang disahkan menghidap penyakit buah pinggang, dia perlu menjalani rawatan dialisis selama empat jam setiap sesi dan pastinya ini akan menjejaskan kehidupan normalnya.” 

Temenggung Dato Vincent Lau
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah SKF


Oleh Borhaniza Ali Basah

SIBU: Yayasan Buah Pinggang Sibu (SKF) akan mempergiat usaha mendidik rakyat tentang kepentingan kesihatan buah pinggang, kata Temenggung Dato Vincent Lau.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah SKF itu berkata, tujuannya adalah untuk mengurangkan bilangan pesakit buah pinggang dengan mewujudkan kesedaran yang lebih baik.

“Kita semua tahu apabila seseorang disahkan menghidap penyakit buah pinggang, dia perlu menjalani rawatan dialisis selama empat jam setiap sesi dan pastinya ini akan menjejaskan kehidupan normalnya.

“Bagi mengelakkan lebih ramai pesakit gagal ginjal, adalah lebih baik untuk mewujudkan kesedaran.

“SKF telah berbincang dalam mesyuarat kami baru-baru ini untuk memperhebatkan bahagian pendidikan dan kami tahu untuk mendidik adalah satu perjuangan yang sukar kerana apa pun yang kami lakukan, orang ramai nampaknya tidak menerima mesej itu,” katanya semasa sambutan Hari Pesakit SKF di sini hari ini.

Menurut Lau, ramai orang berpendapat bahawa kegagalan buah pinggang tidak akan datang kepada mereka dan mentaliti beginilah yang ingin diubah oleh SKF.

"Juga ingat bahawa kegagalan buah pinggang tidak semestinya melanda orang yang lebih tua sahaja.

"Kita boleh lihat statistik terdapat pesakit muda.

“Jadi, golongan muda tidak boleh berfikir bahawa mereka tidak akan mengalami kegagalan buah pinggang hanya kerana mereka masih muda,” tegasnya.

Terdahulu, beliau mengucapkan terima kasih kepada penaja dan komuniti setempat atas sokongan baik terhadap SKF.

“Atas sokongan mereka, SKF mampu mengurangkan beban pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di pusat kami.

"Semua orang tahu bahawa dialisis sangat mahal," katanya.

Lau berkata, sejak dua hingga tiga tahun lalu SKF cuba mengurangkan caj dialisis.

Beliau menjelaskan, bagi pesakit tajaan kerajaan seperti daripada PERKESO, SKF tidak mengutip lebih daripada apa yang dibayar PERKESO kepada pusat itu.

“Bagi mereka yang tidak dilindungi oleh PERKESO, kami telah mengurangkan caj sebanyak RM100 setiap sesi buat masa ini.

"Dialisis percuma diberikan kepada mereka yang masih tidak mampu menanggung kos rawatan.

“Kami berharap sokongan seperti ini akan berterusan supaya SKF dapat terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Pada masa sama, walaupun kami menyediakan dialisis yang sangat berpatutan, kami juga memastikan kami menyediakan perkhidmatan berkualiti kerana kami menyasarkan pesakit kami menjalani kehidupan normal,” katanya.

Kira-kira 100 pesakit buah pinggang dan ahli keluarga mereka serta kakitangan SKF dan ahli Lembaga Pemegang Amanah kemudiannya memulakan lawatan menaiki bot di sepanjang Sungai Igan.

Advertisement