Anda di sini

Sarawak perlu sistem saliran komprehensif

Advertisement
Lo (dua kanan) meyampaikan replika cek dana RTP pembinaan projek jambatan konkrit di Lorong 2, Kampung Tematu kepada Ketua Kaum Kampung Tematu Geofrey Tahang (tiga kiri) hari ini. -Gambar Mohd Faisal Ahmad
Lo (dua kanan) meyampaikan replika cek dana RTP pembinaan projek jambatan konkrit di Lorong 2, Kampung Tematu kepada Ketua Kaum Kampung Tematu Geofrey Tahang (tiga kiri) hari ini. -Gambar Mohd Faisal Ahmad

Sistem saliran dari kawasan penempatan ke sungai diperlukan bagi tangani isu banjir di negeri ini

Oleh Henrietta Liza

BAU: Sarawak memerlukan sistem saliran dari kawasan penempatan ke sungai yang lebih komprehensif bagi menangani isu banjir yang berlaku di negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang berkata, sebuah sistem saliran yang lebih besar dan lurus terus ke sungai mampu mengatasi isu berkenaan.

“Bagi mengurangkan kejadian banjir berlaku di Kuching dan di seluruh Sarawak, sistem saliran yang besar penting agar air dapat dialirkan terus ke sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan projek dan penyerahan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Kampung Tematu di sini, hari ini.

Lo pada masa yang sama turut menegaskan agar setiap individu menjalankan tanggungjawab mereka dengan tidak membuang sisa dan sampah ke dalam sungai sehingga menyebabkan saliran air tersumbat.

“Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai dan orang kampung secara amnya supaya tidak membuang sampah di dalam sistem saliran air kita sehingga boleh menyebabkan longkang atau parit tersumbat.

“Begitu juga pihak kontraktor dinasihatkan untuk tidak membuang sisa pembinaan secara haram di merata-rata tempat sehingga menjejaskan alam sekitar.

“Kita dapati banyak sisa pembinaan dibuang secara haram di merata-rata tempat. Sisa-sisa ini akan mengalir ke sungai lalu menyebabkan banjir dan masalah-masalah seumpamanya berlaku,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut memuji tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana sentiasa membantu mengorek longkang di kawasan kampung sekitar DUN Batu Kitang bagi mengelak kejadian banjir.

Lo ketika ditemui pemberita semalam. -Gambar Mohd Faisal Ahmad
Lo ketika ditemui pemberita semalam. -Gambar Mohd Faisal Ahmad

“Di sini memang banjir kerana jalan raya akan dinaiki air sungai. Justeru, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada JPS kerana membantu mengurangkan kejadian banjir di sini,” jelasnya.
 

Advertisement