Anda di sini

Delegasi SUKMA, Para SUKMA Sarawak kunjungi KM Pulau Pinang, MB Perlis

Advertisement
Rentap (tiga kanan) menyerahkan cenderamata berupa maskot SUKMA XXI, patung burung kenyalang dan bakul hasil anyaman Sarawak kepada Chow. Turut kelihatan Rosey (dua kanan). -Gambar UKAS
Rentap (tiga kanan) menyerahkan cenderamata berupa maskot SUKMA XXI, patung burung kenyalang dan bakul hasil anyaman Sarawak kepada Chow. Turut kelihatan Rosey (dua kanan). -Gambar UKAS

KUCHING: Delegasi Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli di pejabat mereka semalam.

Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), delegasi Kerajaan Sarawak diketuai Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti Datuk Rosey Yunus.

Dalam pada itu, kedua-dua Ketua Menteri dan Menteri Besar tersebut menyambut baik kunjungan hormat delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Terdahulu rombongan dari Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang di Pejabat Ketua Menteri di Komtar, George Town, Pulau Pinang. 

Delegasi SUKMA XXI dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kemudiannya meneruskan perjalanan ke Perlis bagi kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar.

Menarik perhatian, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut mencemar duli membawa delegasi SUKMA XXI dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 melawat ke Kampung Warna-Warni di Kuala Perlis.

Hadir sama dalam dua kunjungan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dolhadi Mazuki, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Nur Alina Abdullah Colliner Gohe, Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Jee Chin Fu dan Pegawai Tadbir Khas Matthew Chin Hiong Choi serta urus setia kunjungan hormat SUKMA XXI dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Pada Selasa, delegasi sama turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Pejabat Menteri Besar Kedah, Wisma Darul Aman, Alor Setar.
 

Advertisement