Anda di sini

Dua helikopter terhempas di Lumut, 10 terkorban

Advertisement
Para petugas di lokasi dua helikopter TLDM terhempas. -Gambar bomba
Para petugas di lokasi dua helikopter TLDM terhempas. -Gambar bomba

KUALA LUMPUR: Sepuluh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan meninggal dunia dalam insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi ini. 

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut menerusi kenyataan memaklumkan insiden pada 9.32 pagi itu melibatkan 10 kru masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini. 

Kenyataan itu memaklumkan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Selain itu, TLDM juga memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-dua pesawat berkenaan terjunam.

Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.-

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata ketika kejadian helikopter sedang menjalani raptai sambutan sempena Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung di pangkalan tersebut Mei ini. - BERNAMA 
 

Advertisement