Anda di sini

Dua suspek kes ragut di Taman Desa Wira direman tujuh hari

Advertisement
Polis mengiringi kedua-dua suspek kes ragut di Taman Desa Wira, Batu Kawa di Kompleks Mahkamah Kuching selepas permohonan reman tujuh hari ke atas mereka diluluskan hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
Polis mengiringi kedua-dua suspek kes ragut di Taman Desa Wira, Batu Kawa di Kompleks Mahkamah Kuching selepas permohonan reman tujuh hari ke atas mereka diluluskan hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Dua lelaki warga tempatan direman tujuh hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kes ragut di Taman Desa Wira, Batu Kawa di sini pada Isnin.

Perintah reman ke atas kedua-dua suspek yang berusia 20 dan 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Zubaidah Sharkawi di bawah Seksyan 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Dilaporkan pada Isnin, mangsa seorang wanita berumur lingkungan 50-an, sedang berjalan seorang diri ketika dihampiri kedua-dua suspek yang menunggang motosikal lalu meragut beg sandang miliknya.

Pemangku Ketua Polis Daerah (KPD) Padawan DSP Lim Jaw Shyong dalam kenyataan pada Isnin berkata, mangsa berusaha mempertahankan beg sandang miliknya daripada diragut suspek.

Pada masa sama katanya, sebuah kenderaan yang dipandu orang awam berhenti di hadapan motosikal suspek dan berjaya menahan salah seorang daripada mereka.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek berjaya melarikan diri, tambah Lim.

Suspek kedua akhirnya dapat ditangkap di Jalan Lapangan Lama dekat sini sekitar jam 5 petang hari sama.

Video insiden itu turut tular di media sosial.

Kes tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dikendalikan oleh Inspektor Nyaum Ringkai dan dibantu Sarjan Azmi Roslan.
 

Advertisement