Anda di sini

KEMAS berperanan mencorakkan hala tuju negara

Advertisement

Warga KEMAS mesti tingkat keupayaan dengan teroka ilmu teknologi maklumat, selaras dengan transformasi digital 

(Dari lima kiri) Anisah, Rubiah dan Zairuddin bersama kakitangan KEMAS dari seluruh Sarawak semasa sesi perjumpaan semalam.
(Dari lima kiri) Anisah, Rubiah dan Zairuddin bersama kakitangan KEMAS dari seluruh Sarawak semasa sesi perjumpaan semalam.

“KEMAS berperanan besar dalam pembentukan modal insan dari peringkat awal kanak-kanak taska dan tabika sehingga ke golongan dewasa mahupun warga emas.”

Datuk Rubiah Wang 
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah  

Oleh kelvin Lambai

SRI AMAN: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berperanan besar dalam mencorakkan hala tuju negara, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang.

“Sama ada disedari atau tidak, anggota KEMAS sebenarnya terlibat dalam mencorakkan hala tuju negara.  

“KEMAS berperanan besar dalam pembentukan modal insan dari peringkat awal kanak-kanak taska dan tabika sehingga ke golongan dewasa mahupun warga emas,”ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Libat Urus Tahun 2024 anjuran KEMAS Negeri di Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak Kota Samarahan semalam.

Menurutnya, warga KEMAS mesti meningkatkan keupayaan diri dengan meneroka ilmu pengetahuan dalam teknologi maklumat dan selaras dengan transformasi digital agar bijak teknologi maklumat (IT).

"KEMAS juga seharusnya perlu lebih aktif menggunakan teknologi ini, terutama media sosial untuk mempromosikan program, aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat. 

“Masyarakat umumnya perlu tahu kerja yang kita lakukan.

"Seperti pesanan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang menyarankan agar ‘everyone has to communicate’, kita diminta untuk mempromosi program-program Jabatan dan Kementerian secara kreatif dan strategik menggunakan pelbagai platform media sosial agar dapat membina persepsi yang positif kepada masyarakat,” jelasnya. 

“Perubahan teknologi yang laju menyebabkan penggunaan Internet menjadi semakin meluas.

"Dunia digital bukan sahaja melibatkan bidang pendidikan namun meliputi semua aspek termasuk perniagaan digital. 

“Kini perniagaan secara dalam talian semakin rancak dilaksanakan menyebabkan KEMAS harus berubah lebih cepat ke hadapan terutama dalam membimbing para usahawan KEMAS,” jelasnya.  

Di samping itu katanya, anggota KEMAS juga disaran menjalinkan kerjasama erat dengan pemimpin tempatan, selain turun padang merasai denyut nadi rakyat. 

Beliau menambah, apa sahaja yang diusahakan perlu ada 'wow factor' dengan mencipta sesuatu di luar daripada kebiasaan dan antaranya yang telah diilhamkan sendiri oleh Ahmad Zahid adalah program pra-tahfiz KEMAS yang dijangka bakal melahirkan 100,000 huffaz cilik menjelang 2026. 

Sebelum mengakhiri ucapan beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan syabas kepada KEMAS kerana mempunyai pangkalan data melalui sistem iKEMAS, begitu juga dengan penggunaan eRPH iaitu penulisan Rancangan Pengajaran Harian TABIKA KEMAS dalam sistem secara luar talian dan penggunaan perpustakaan dalam talian atau eRead.

Majlis itu telah dihadiri 280 kakitangan KEMAS Sarawak mewakili 2,090 kakitangan KEMAS seluruh negeri.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS Malaysia Zairuddin Mat Zuini dan Pengarah KEMAS Sarawak Anisah Saidin.
 

Advertisement