Anda di sini

Liverpool tamatkan badi kekalahan, kembali ke landasan 

Advertisement

Lalui minggu yang buruk sebelum bangkit bersaing dalam kejuaraan Liga Perdana Inggeris setelah menewaskan Fulham 3-1

Ryan Gravenberch (dua kiri) meraikan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Fulham dan Liverpool di Craven Cottage di London, kelmarin. — Gambar AFP
Ryan Gravenberch (dua kiri) meraikan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Fulham dan Liverpool di Craven Cottage di London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Liverpool kembali ke landasan saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas satu minggu yang buruk dengan kemenangan 3-1 di Fulham sementara Nottingham Forest naik berang dengan mutu pengadilan ketika tewas 0-2 di Everton, kelmarin.

Liverpool tersingkir dari Liga Europa apabila tewas kepada Atalanta di peringkat suku akhir pada Khamis, susulan kekalahan mengecewakan dalam liga di Anfield ketika menentang Crystal Palace minggu lepas.

Harapan Liverpool untuk memberikan ganjaran selamat jalan kepada jurulatihnya, Jurgen Klopp, kelihatan semakin hambar tetapi pada Ahad, mereka kembali bersaing untuk kejuaraan liga ekoran kemenangan pertama dari tiga perlawanan liga terakhir.

Liverpool kini berada di tangga kedua liga, di belakang pendahulu liga, Arsenal dengan perbezaan gol dan satu mata di hadapan Manchester City, yang kurang satu perlawanan berbanding dua pasukan di hadapannya.

Liverpool akan bertandang ke Everton esok sementara Arsenal menanti kunjungan Chelsea pada hari ini dan City beraksi di Brighton pada Khamis.

“Fulham biasanya memberikan lebih banyak masalah kepada kami, jadi ia adalah prestasi  yang baik pada masa yang tepat,” kata Klopp.

“Kami mahu terus bersaing, itu jelas. Arsenal menang semalam, Manchester City akan memenangi perlawanan tertangguh mereka, jadi kami harus memenangi perlawanan dan itulah apa yang akan kami cuba.”

Klopp memberi reaksi daripada petanda keletihan pemainnya dalam beberapa minggu dengan meletakkan penyerang utama, Mohamed Salah di bangku simpanan – antara lima pertukaran yang dilakukannya pada Ahad.

Dan pasukannya menyedari pertukaran itu dengan permainan lebih memberangsangkan di London.

Trent Alexander-Arnold meletakkan Liverpool di hadapan pada minit ke-32 dengan satu tendangan percuma cantik.

Pemain pertahanan Fulham, Timothy Castagne mengikat kedudukan dari jarak dekat selepas pertahanan Liverpool gagal mengeluar bola bahaya pada minit akhir sebelum rehat.

Ryan Gravenberch meletakkan Liverpool kembali di hadapan pada minit ke- 53 dengan satu rembatan dari hujung kotak penalti untuk gol liga pertamanya sebelum Diogo Jota melengkapkan jaringan pada minit ke-72.

Pada perlawanan tumpuan lain, Everton semakin mencerahkan peluang untuk terus kekal dalam Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan kontroversi ke atas Forest.

Idrissa Gueye dan Dwight McNeil menjaringkan gol kemenangan yang meletakkan Everton lima mata di atas zon penyingkiran.

Forest kekal satu mata di atas zon penyingkiran dan terkilan kerana dinafikan tiga tendangan penalti.

Pegawai kelab, menerusi akaun X, mempersoalkan integriti Liga Perdana dengan mendakwa pegawai panel video bantuan pengadil (VAR) adalah seorang peminat kelab Luton Town yang turut bersaing mengelak penyingkiran.

“Kami memberi amaran kepada PGMOL (badan pentadbir pengadil) bahawa (panel) VAR adalah penyokong Luton sebelum perlawanan tetapi mereka tidak mengubah kedudukannya,” kata Forest.

“Kesabaran kami diuji beberapa kali. NFFC (kelab) akan menimbangkan pilihannya.”

Aston Villa mengukuhkan peluang mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim hadapan apabila bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Bournemouth 3-1.

Villa mengenepikan keletihan selepas bermain sehingga masa tambahan dan penentuan sepakan penalti pada pertengahan minggu untuk menempah tempat ke peringkat separuh akhir Liga Konferensi Europa.

Anak buah Unai Emery juga ketinggalan oleh gol Dominic Solanke dari satu tendangan penalti pada awal permainan.

Morgan Rogers bagaimanapun mengikat kedudukan sebelum rehat untuk memulakan kebangkitan Villa.

Moussa Diaby menyempurnakan hantaran Ollie Watkins untuk meletakkan Villa di hadapan buat kali pertama sebelum Leon Bailey melengkapkan jaringan dari satu lagi umpanan Watkins, 12 minit sebelum tamat permainan.

Kemenangan itu meletakkan Villa enam mata di hadapan pasukan di tangga kelima, Tottenham Hotspur.

Spurs kurang dua perlawanan tetapi mempunyai baki perlawanan sukar menentang Manchester City, Arsenal dan Liverpool dari enam perlawanan terakhir.

Pada perlawanan lain, masa depan David Moyes selaku jurulatih West Ham United kelihatan semakin sukar selepas pasukannya dibelasah 2-5 di Crystal Palace.

Michael Olise membuka jaringan sebelum Eberechi Eze menjaringkan gol akrobatik untuk menambah jaringan.

Gol sendiri Emerson Palmieri menjadikan kedudukan 3-0 buat Palace sebelum Jean-Philippe Mateta menjaringkan dua gol di antara masa rehat untuk melengkapkan jaringan.

Dua gol sagu hati West Ham dijaringkan Michael Antonio dan gol sendiri Tyrick Mitchell. — AFP
 

Advertisement