Anda di sini

Mahkamah Indonesia tolak tentangan Anies

Advertisement

Pencabar utama Prabowo itu mendakwa dasar nepotisme mempengaruhi keputusan undi

Anies (kiri) bersama calon naib presidennya Muhaimin Iskandar mendengar keputusan yang dibacakan hakim pada sesi pendengaran di Mahkamah Perlembagaan di Jakarta, semalam. - Gambar AFP
Anies (kiri) bersama calon naib presidennya Muhaimin Iskandar mendengar keputusan yang dibacakan hakim pada sesi pendengaran di Mahkamah Perlembagaan di Jakarta, semalam. - Gambar AFP

JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia semalam menolak tentangan terhadap keputusan pilihan raya presiden yang dimenangi Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, selepas pencabar utamanya mendakwa peraturan diubah secara tidak adil untuk membolehkan anak lelaki presiden yang akan berundur untuk bertanding sebagai naib presidennya.

Prabowo, 72, disahkan pada Februari sebagai presiden baharu demokrasi ketiga terbesar di dunia itu, mengalahkan bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan dan pencabar ketiga dengan meraih 58.6 peratus undi.

Kempen Prabowo dicemari dakwaan bahawa presiden yang akan berundur Joko Widodo telah campur tangan dalam cubaan meningkatkan kempennya.

Dia dituduh mengubah peraturan yang membolehkan anak lelaki sulungnya Gibran Rakabuming Raka bertanding sebagai naib presiden

Anies yang meraih 24.9 peratus undi, enggan mengaku kalah selepas keputusan rasmi diumumkan dan mendakwa kerajaan telah membantu kemenangan Prabowo dan menyeru pilihan raya dijalankan semula.

Beliau mendakwa kerajaan telah campur tangan untuk merangka kemenangan bagi Prabowo, termasuk menyampaikan bantuan sosial bagi mempengaruhi pendirian pengundi.

Namun mahkamah menolak dakwaannya atas alasan nepotisme atau campur tangan kerajaan tidak terbukti dalam kes ini.

"Mahkamah menolak pengecualian (yang difailkan Anies) sepenuhnya.

"Rayuan itu ditolak sepenuhnya," kata ketua hakim Suhartoyo.

Ganjar Pranowo yang mendapat tempat ketiga dengan 16 peratus undi, juga enggan mengaku kalah dan mengemukakan tuntutan bagi mencabar keputusan tersebut.

Mahkamah bagaimanapun masih belum mempertimbangkan tentangannya.

Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dikritik selepas adik iparnya, ketua hakim ketika itu Anwar Usman, meluluskan peraturan pada Oktober lalu yang menurunkan syarat usia bagi calon presiden dan naib presiden yang membolehkan Gibran, 36, bertanding bersama Prabowo.

Syarat itu dilonggarkan bagi membolehkan calon berusia bawah 40 tahun untuk bertanding jika mereka telah dipilih menjawat kedudukan politik.

Gibran merupakan datuk bandar Surakarta di Pulau Jawa.

Gibran menyertai pasukan Prabowo yang mencanak cemerlang dalam kempen mereka dengan angka pemilihan menteri pertahanan itu melonjak dalam masa beberapa bulan.

Prabowo seterusnya diramalkan secara meluas untuk memenangi kerusi presiden pada cubaan ketiga selepas kalah pada 2014 dan 2019.

Beliau menolak semua dakwaan pesaingnya sebagai tindak berasas dan akan mengambil alih jawatan presiden pada Oktober selepas tempoh peralihan. - AFP
 

Advertisement