Anda di sini

Meleleh air mata rakan terkorban nahas helikopter: Mohd Fadzhil

Advertisement
 Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli (lima dari kanan) bergambar bersama kru sebelum menerbangkan HOM AW139 ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pada 19 April lalu.
KENANGAN: Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli (lima dari kanan) bergambar bersama kru sebelum menerbangkan HOM AW139 ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pada 19 April lalu.
 Safwan Sawi (tiga kiri) dan kru TV3 Sabah bersama Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli (kiri) ketika menyertai tinjauan udara dengan helikopter HOM AW139 sempena sambutan Aidilfitri pada 3 Syawal lalu.
TINJAUAN: Safwan Sawi (tiga kiri) dan kru TV3 Sabah bersama Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli (kiri) ketika menyertai tinjauan udara dengan helikopter HOM AW139 sempena sambutan Aidilfitri pada 3 Syawal lalu.

KOTA KINABALU: Rakan kepada empat anggota Skuadron 503 tidak dapat menahan sedih selepas mendengar berita membabitkan nahas dua helikopter dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 di Pangkalan di Lumut, Perak.

Pegawai Perhubungan Awam TLDM Teluk Sepanggar, Leftenan Komander Mohd Fadzhil Salleh berkata, rakan kepada Skuadron 503 yang berpangkalan di TLDM Teluk Sepanggar, di sini hanya mampu mengalirkan air mata selepas menerima berita sedih terbabit.

Katanya, kehilangan anggota yang diketuai Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli, yang turut bertindak sebagai juruterbang sebuah daripada helikopter pasukan itu amat dirasai.

"Bila mendengar berita mengenai insiden itu, meleleh air mata, ramai meleleh air mata kerana tidak dapat menahan rasa sedih.

"Arwah sangat baik, seorang yang ceria, suka tolong orang. Memang kehilangan arwah terasa sangat," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, beliau sangat rapat dengan arwah dan amat mengenalinya.

“Pada raya baru-baru ini, saya ada membawa media untuk tinjauan udara menggunakan helikopter.

"Masa itu, helikopter dikendalikan oleh arwah, helikopter itulah yang terbabit insiden pagi tadi di Lumut," katanya.

Difahamkan, ahli keluarga pegawai dan anggota Skuadron 503 yang berpangkalan di TLDM Teluk Sepanggar, dibawa ke Kuala Lumpur, petang Selasa.

Mohd Fadzhil berkata, pihaknya juga sedang mengurus untuk membawa keluarga anggota yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak itu.

Semua ahli keluarga anggota dan pegawai yang terkorban dibawa menaiki pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), jam 1.20 tengah hari semalam.

Sementara itu, Wartawan TV3 Sabah, Safwan Sawi, berkata dia amat terkejut dan sedih apabila mendengar berita itu lebih-lebih lagi apabila mengetahui juruterbangnya, Komander Muhammad Firdaus Ramli antara yang terkorban dalam tragedi itu.

"Baru saja beberapa minggu lalu kru TV3 diberi peluang menaiki pesawat berkenaan untuk liputan penugasan anggota TLDM dari skuadron terbabit, sebelum tiba-tiba hari ini dapat berita ia terbabit nahas di Lumut.

"Ia amat menyedihkan dan saya turut bersimpati terhadap keluarga anggota yang maut serta seluruh warga TLDM, lebih-lebih lagi dari Skuadron 503," katanya ketika dihubungi.

TLDM hari ini mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Manakala dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi. 

  • oleh
  • Advertisement