Anda di sini

Ribut dan hujan lebat badai selatan China, 11 hilang

Advertisement
Gambar yang dirakam dari udara menunjukkan sebatang jalan ditenggelami air selepas hujan lebat di Kota Qingyuan, wilayah selatan Guangdong, semalam. - Gambar AFP
Gambar yang dirakam dari udara menunjukkan sebatang jalan ditenggelami air selepas hujan lebat di Kota Qingyuan, wilayah selatan Guangdong, semalam. - Gambar AFP

BEIJING: Sebelas mangsa hilang susulan ribut yang membadai selatan China, lapor media rasmi semalam, ketika puluhan ribu penduduk dipindahkan.

Hujan lebat melanda wilayah luas selatan Guangdong sejak beberapa hari lalu, mengakibatkan air sungai melimpah dan meningkatkan kebimbangan banjir besar yang menurut media rasmi hanya berlaku sekali setiap seratus tahun.

"Sejumlah 11 orang hilang selepas hujan lebat berterusan di banyak tempat di Guangdong sejak beberapa hari lalu," lapor agensi berita rasmi Xinhua yang memetik kenyataan jabatan pengurusan kecemasan tempatan.

Lebih 53,000 penduduk telah dipindahkan ke tempat yang selamat, tambahnya.

Daripada jumlah tersebut, lebih 45,000 orang telah dipindahkan dari bandar utara Qingyuan yang terletak di kedua-dua belah tebing Sungai Bei, anak sungai Delta Sungai Pearl yang lebih lebar, menurut laporan media rasmi kelmarin.

Hujan lebat berterusan semalam dengan pihak berkuasa meteorologi meramalkan ribut petir dan angin kencang di pesisiran pantai Guangdong, kawasan laut bersempadan dengan bandar raya Hong Kong dan Shenzhen.

Wilayah jiran termasuk beberapa bahagian di Fujian, Guizhou dan Guangxi, juga akan terjejas oleh hujan lebat jangka pendek, menurut Pusat Meteorologi Nasional.

"Dijangkakan impak utama tiupan angin yang kuat ini akan berlarutan dari siang hingga ke malam," tambahnya.

Wilayah Guangdong merupakan pusat pengeluaran berpopulasi padat yang menempatkan 127 juta penduduk.

Di bandar Jiangwan, enam orang cedera dan beberapa orang terperangkap dalam tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat kelmarin, lapor media tempatan.

Gambar yang diterbitkan badan penyiaran rasmi CCTV menunjukkan rumah di sepanjang tebing sungai ranap dilanda banjir lumupr dan penduduk berlindung di gelanggang sukan awam dalam keadaan basah kuyup.

CCTV melaporkan kelmarin bahawa banjir setinggi 19 kaki melepas paras amaran akan menjejaskan anak-anak Sungai Pearl menjelang pagi semalam. - AFP
 

Advertisement