Anda di sini

Sarawak akan sesuaikan teknologi biotenaga untuk tingkat penjanaan tenaga boleh diperbaharui: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari (barisan hadapan, lapan kanan) bersama Awang Tengah (barisan hadapan, sembilan kanan) serta yang lain ketika mengadakan lawatan ke Stesen Janakuasa Drax, United Kingdom pada Isnin. - Gambar UKAS
Abang Johari (barisan hadapan, lapan kanan) bersama Awang Tengah (barisan hadapan, sembilan kanan) serta yang lain ketika mengadakan lawatan ke Stesen Janakuasa Drax, United Kingdom pada Isnin. - Gambar UKAS

KUCHING: Sarawak akan menyesuaikan teknologi biotenaga untuk meningkatkan keupayaan penjanaan tenaga boleh diperbaharuinya, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Premier Sarawak, 'Sarawakku,' Abang Johari berkata ilham itu tercetus susulan lawatan delegasi Sarawak diketuai beliau ke Stesen Janakuasa Drax pada Isnin untuk melihat sendiri dan mendapatkan pandangan mengenai operasi fasiliti penjanaan kuasa boleh diperbaharui terbesar di United Kingdom (UK) itu.

Menurutnya fasiliti Stesen Janakuasa Drax yang telah berjaya beralih daripada arang batu kepada biojisim sebagai sumber tenaga berfungsi sebagai model amalan tenaga mampan.

"Terdapat banyak perkara baharu yang boleh kita pelajari di sini," katanya sambil menyatakan Stesen Janakuasa Drax merekodkan pengeluaran tenaga mengagumkan iaitu kira-kira 3.9 gigawatt (GW), terutamanya daripada sisa kayu yang diimport dari Kanada dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai delegasi dari Sarawak mengadakan lawatan kerja ke Stesen Janakuasa Drax di UK, pada Isnin.

Abang Johari menambah, paling penting Sarawak boleh mendapat manfaat daripada memahami teknologi yang digunakan di Stesen Janakuasa Drax bagi menukar biojisim kepada tenaga.

Beliau juga membuat persamaan antara teknologi arang batu lama yang digunakan sebelum ini di Stesen Janakuasa Drax dan kemungkinan penyesuaian untuk Sarawak.

"Ini adalah loji janakuasa lama yang kini menggunakan biojisim dan bukannya arang batu. Kita (Sarawak) boleh membangunkan loji janakuasa baharu yang lebih cekap, disesuaikan dengan ketersediaan sumber tempatan kita.

Abang Johari (empat kanan) mendengar taklimat semasa mengadakan lawatan ke Stesen Janakuasa Drax, United Kingdom pada Isnin. - Gambar UKAS
Abang Johari (empat kanan) mendengar taklimat semasa mengadakan lawatan ke Stesen Janakuasa Drax, United Kingdom pada Isnin. - Gambar UKAS

"Kita menyasarkan untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui daripada sumber yang kita ada," jelasnya.

Dimiliki dan dikendalikan oleh Drax Power, anak syarikat Drax Group, loji itu menjana kira-kira 18TWh elektrik setahun yang menyumbang kepada enam peratus daripada jumlah bekalan elektrik di UK.

Empat unit biojisim loji itu menyediakan 2.6GW tenaga yang membentuk kira-kira 12 peratus daripada jumlah tenaga boleh diperbaharui di UK, manakala dua baki unit pembakaran arang batu yang mampu menjana sejumlah 1.3GW dan dirancang digantikan dengan dua unit kitaran gabungan 1.8GW menggunakan gas pada 2025.

Stesen Janakuasa Drax juga merupakan pengeluar biojisim mampan kedua terbesar di dunia.

Memandangkan Sarawak berhasrat untuk meningkatkan keupayaan tenaga boleh diperbaharuinya, pandangan serta idea yang diperoleh daripada Stesen Janakuasa Drax menyediakan rangka kerja berharga bagi membangunkan penyelesaian tenaga yang mampan dan sesuai dengan landskap geografi dan ekonomi negeri yang unik.

Potensi untuk menggunakan sisa biojisim tempatan untuk tenaga sejajar dengan matlamat alam sekitar global dan menawarkan laluan kepada sara diri tenaga untuk Sarawak.

Lawatan kerja ke Stesen Janakuasa Drax turut disertai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh serta yang lain.
 

Advertisement