Anda di sini

TDM berjaya sekat kemasukan lima PATI Indonesia di Biawak

Advertisement
Kelima-lima PATI terbabit diusir balik ke negara mereka.
Kelima-lima PATI terbabit diusir balik ke negara mereka.

KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menyekat kemasukan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia di Biawak, Lundu pada Isnin.

Markas 1 Divisyen dalam satu kenyataan memberitahu pasukan Sub Unit Formasi Divisyen Pertama Infantri bersama anggota Tentera Negara Indonesia-Angkatan Darat telah melaksanakan rondaan bersama di kawasan keselamatan Biawak pada jam 11.45 pagi.

Menurutnya, mereka berjaya mengesan empat lelaki dan seorang wanita sedang berjalan merentasi sempadan Malaysia dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan ronda tersebut telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas lima individu terbabit dan didapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai.
 
"Senarai barang bukti yang ditemui adalah wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian dengan nilai berjumlah RM3,150," katanya.

Difahamkan, tiada dokumen pengenalan diri yang sah ditemui semasa pemeriksaan dilakukan ke atas kesemua individu terbabit.

"Kesemua mereka telah dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bau bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa," katanya.

Tambahnya, Panglima 1 Divisyen Mej Jen Datuk Mohamed Fauzi Kamis merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pegawai dan anggota yang berjaya membanteras kemasukan PATI di perbatasan negara.

"Markas 1 Divisyen akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan negara bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement