Anda di sini

Tragedi helikopter: Wirawati TLDM, Joanna selamat dikebumikan

Advertisement
Penghormatan terakhir daripada para pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Joanna di di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh. - Gambar Roystein Emmor

SERIAN: Mendiang wirawati dari Kampung Sumpas Tampek, Laskar Kanan (LK) JJM Joanna Felicia Rohna yang terlibat dalam tragedi helikopter di Lumut, Perak pada Selasa lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh di sini pada jam 11.30 pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi penduduk kampung yang berada di pekarangan rumah masing-masing untuk memberi penghormatan terakhir apabila jasad mendiang diusung sepanjang perjalanan dari rumah keluarganya di Kampung Engkeroh hingga ke tanah perkuburan.

Suami mendiang, Hasley Ali meratapi pemergian isteri tercinta di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh. - Gambar Roystein Emmor
Suami mendiang, Hasley Ali membawa anaknya semasa upacara pengebumian isteri tercinta di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh. - Gambar Roystein Emmor

Jasad ibu kepada dua anak kecil itu tiba di tanah perkuburan pada jam 10.35 pagi dan upacara pengebumian dilaksanakan dengan penuh istiadat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Keranda yang membawa jasad mendiang, 26, diusung oleh anggota TLDM dan urusan pengebumian turut dibantu oleh anggota dari Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div).

Kumpulan bantuan pengebumian melibatkan seramai 78 anggota yang terdiri daripada 17 pegawai dan 61 anggota lain-lain pangkat.

Semasa upacara, Laksamana Pertama Ir Ts Franklin Jeyasekhar Joseph mewakili TLDM turut menyerahkan Bendera Ensign (Panji-Panji TLDM) kepada suami mendiang, Hasley Ali, sebagai tanda penghormatan terakhir. 

Franklin (kanan) menyerahkan Bendera Ensign (Panji-Panji TLDM) kepada suami mendiang, Hasley Ali selesai upacara pengebumian jasad mendiang Joanna sambil disaksikan oleh Fauzi. - Gambar Roystein Emmor

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ahli Parlimen Serian Dato Sri Dr Richard Riot Jaem, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis dan Penasihat Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer Datuk Stephen Mundaw.

Terdahulu, pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jasad mendiang dari Ipoh, Perak tiba di Pangkalan Udara TUDM, Kuching pada jam 11.54 malam Rabu.

Sebelum dibawa pulang ke Kuching, jasad mendiang telah melalui prosedur bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Jasad mendiang seterusnya dibawa ke Kampung Engkaroh, Tebakang, Serian dan tiba kira-kira jam 2.08 pagi.

Jasad mendiang tiba di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh, Serian untuk upacara pengebumian. - Gambar Roystein Emmor
Jasad mendiang tiba di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh, Serian untuk upacara pengebumian. - Gambar Roystein Emmor

Mendiang Joanna merupakan salah seorang daripada 10 mangsa tragedi helikopter TLDM yang terkorban semasa raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM Ke-90 pada pagi Selasa lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi itu melibatkan dua helikopter iaitu pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan pesawat Fennec dinaiki tiga kru yang bertembung di udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut.

Rentetan insiden menyayat hati itu, Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu telah dibatalkan dan akan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat untuk mangsa terlibat tragedi berkenaan.

Suami mendiang, Hasley Ali meratapi pemergian isteri tercinta di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh. - Gambar Roystein Emmor
Suami mendiang, Hasley Ali meratapi pemergian isteri tercinta di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh. -Gambar Roystein Emmor

Selain mendiang Joanna, mereka yang terkorban ialah Komander Muhammad Firdaus Ramli, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Leftenan Sivasutan Thanjappan, Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun, Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi dan Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar.

Suasana sayu pada upacara pengebumian mendiang Joanna di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh. -Gambar Roystein Emmor
Suasana sayu pada upacara pengebumian mendiang Joanna di Tanah Perkuburan Kristian, Kampung Engkeroh. -Gambar Roystein Emmor
  • oleh
  • Advertisement