Anda di sini

Bekas tentera dipenjara enam tahun kerana kelar hidung budak 12 tahun

Advertisement
Polis mengiringi Madeng selepas prosiding di Mahkamah Sesyen, Kuching hari ini.
Polis mengiringi Madeng selepas prosiding di Mahkamah Sesyen, Kuching hari ini.

KUCHING: Seorang bekas tentera dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8,000 atau empat bulan penjara di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengelar hidung kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dengan parang.

Madeng Sibon, 53, mengaku bersalah di hadapan Hakim Iris Awen Jon selepas didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Madeng melakukan kesalahan itu di tepi jalan di Kampung Stenggang, Bau pada jam 4.20 petang, 7 Februari  2024.

Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa dimaklumkan oleh rakan anaknya bahawa mangsa telah dikelar di mukanya dengan parang oleh Madeng.

Mangsa segera dibawa ke Hospital Bau untuk rawatan perubatan dan laporan polis telah dibuat untuk tindakan lanjut.

Polis menahan Madeng pada hari sama kira-kira jam 10.20 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Stenggang, Bau dan turut merampas sebilah parang.

Hasil siasatan mendapati Madeng telah mengelar mangsa dengan parang sebanyak dua kali dan mangsa berjaya melarikan diri.

Mangsa disahkan mengalami kecederaan serius di bahagian hidung, pipi kiri dan bahagian kanan kepala.

Difahamkan, Madeng menyerang mangsa kerana berang mangsa bermain bunga api selepas menasihatinya supaya tidak berbuat demikian.

Di mahkamah sama, Madeng turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas dia mengaku bersalah memukul adik perempuannya masing-masing berusia 36 dan 42 tahun dengan kayu.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Stenggang, Bau pada jam 2.30 petang, 14 Februari 2024.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Madeng dikatakan menggunakan kepingan kayu untuk memukul kedua-dua adik perempuannya itu di kepala dan menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Laporan perubatan kedua-dua mangsa turut mendapati mereka mengalami kecederaan di kepala akibat serangan itu.

Pendakwaan kes oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian, manakala Madeng tidak diwakili peguam bela.
 

Advertisement