Anda di sini

Kerajaan Sarawak akan buka enam lagi OSEIC: Fatimah

Advertisement
Fatimah (dua kiri) bercakap pada sidang media di OSEIC Kuching di Metrocity, hari ini. Turut kelihatan (dari kanan) Salina, Rosey dan Colliner.
Fatimah (dua kiri) bercakap pada sidang media di OSEIC Kuching di Metrocity, hari ini. Turut kelihatan (dari kanan) Salina, Rosey dan Colliner.

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk membuka enam lagi Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) dalam tempoh enam tahun akan datang bermula 2025 hingga 2030. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, OSEIC terbabit masing-masing akan dibuka di Bintulu, Betong, Lawas, Kapit, Serian dan Samarahan. 

"Tahun ini kita akan membuka OSEIC di Miri pada bulan Oktober ini, tambahan kepada OSEIC sedia ada iaitu satu di Dalat dan satu lagi di Kuching. 

"Sibu kita tidak akan buka OSEIC, sebab sudah ada Pusat Agape yang menyediakan perkhidmatan sama seperti OSEIC," ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat OSEIC di Bangunan OSEIC, Metrocity di sini hari ini. 

Mengulas lanjut mengenai OSEIC, Fatimah berkata ia mula beroperasi pada Oktober 2020 dengan jumlah pelatih kanak-kanak seramai 30 orang yang terdiri daripada pelbagai ketidakupayaan. 

Kini katanya, OSEIC Kuching di Metrocity mempunyai seramai 489 pelatih kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ke bawah. 

"Objektif penubuhan OSEIC adalah untuk menyediakan perkhidmatan intervensi awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas dari kumpulan B40. 

"Ada yang ditawarkan di pusat swasta tetapi tidak cukup dan tidak semua terutama ibu bapa B40 yang mampu," jelasnya.

Ujar Fatimah lagi, intervensi awal adalah sangat penting untuk memastikan kanak-kanak berkeperluan khas dapat memasuki persekolahan aliran perdana atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). 

"Kadar kejayaan lebih baik jika intervensi dijalankan seawal usia dan dari tempoh 2022 hingga 2024, seramai 27 kanak-kanak yang dilatih di OSEIC dapat masuk aliran perdana, manakala seramai 137 kanak-kanak masuk PPKI. 

"Kebimbangan kita sekarang ialah ibu bapa di luar bandar yang tidak mendapat perkhidmatan intervensi ini disebabkan masalah jarak yang jauh atau pengangkutan. 

"Sebab itu, kita mahu mengembangkan lagi OSEIC bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak berkeperluan khas mendapat perkhidmatan ini," katanya. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus, Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak Salina Bujang dan Timbalan Setiausaha Tetap kementerian Colliner Gohe. 
 

  • oleh
  • Advertisement