Anda di sini

Pakar bedah AS pindah buah pinggang khinzir kepada pesakit buat kali kedua

Advertisement
 

WASHINGTON: Pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) memindahkan buah pinggang khinzir yang telah diubah suai kepada seorang pesakit yang masih bernyawa untuk kali kedua, kata sebuah hospital tempatan kelmarin, meraikan kemajuan dalam pemindahan organ haiwan ke manusia.

Prosedur di NYU Langone Health yang terletak di New York telah dijalankan pada April ke atas Lisa Pisano, 54, yang mengalami kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang peringkat akhir, dengan doktor memberinya tempoh hanya beberapa minggu untuk hidup tanpa campur tangan perubatan.

Pakar bedah menanam pam jantung mekanikal di dalam Pisano beberapa hari sebelum pemindahan dilakukan, menurut NYU Langone Health ia merupakan prosedur gabungan yang pertama di dunia.

Sebagai tambahan kepada buah pinggang dengan gen yang telah diubah suai, pihak hospital menyatakan ini kali pertama ia dilakukan ke atas pesakit yang masih hidup, doktor telah memindahkan kelenjar timus khinzir, yang membantu “mendidik” sistem imun dan mengurangkan kemungkinan penolakan organ.

Ketua pakar bedah Doktor Robert Montgomery memberitahu pemberita kelmarin bahawa pembedahan itu menandakan “pencapaian dalam perjalanan kita untuk menyediakan organ yang boleh menyelamatkan nyawa kepada sesiapa yang memerlukannya.”

Montgomery, yang juga pelopor dalam menjalankan pemindahan buah pinggang khinzir dengan gen yang telah diubah suai kepada manusia yang sudah koma pada 2021, berkata operasi terbaru itu akan “mendekatkan kemungkinan tiada sesiapa yang perlu mati, menunggu orang lain untuk mati, supaya mereka dapat diselamatkan.”

Pemindahan pertama buah pinggang khinzir kepada pesakit yang masih hidup telah dijalankan pada Mac di Massachusetts General Hospital ke atas seorang lelaki berusia 62 tahun.

Pemindahan-xeno merupakan pemindahan organ antara spesies yang berbeza, telah dipuji sebagai penyelesaian yang berpotensi untuk pesakit yang memerlukan organ di saat kekurangan penderma organ.

Bagaimanapun, tubuh manusia boleh menolak organ haiwan, bermakna ia mesti diubah suai secara genetik untuk memastikan ia serasi, bagi mengurangkan risiko untuk pesakit.

Hati khinzir yang diubah suai genetiknya telah dipindahkan pada tahun 2023 kepada dua pesakit di Universiti Maryland, tetapi kedua-duanya hanya hidup kurang daripada dua bulan selepas itu.

Pisano, seorang nenek dari New Jersey, berkata dia telah “kehabisan semua sumber lain” sebelum memilih untuk meneruskan prosedur itu. — AFP

Advertisement