Anda di sini

Rata-rata pencarum setuju inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP 

Advertisement
(Dari kiri) Rebecca, Carrie dan Matthaeus
(Dari kiri) Rebecca, Carrie dan Matthaeus

KUCHING: Golongan pencarum di sini rata-rata bersetuju dengan usaha Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaksanakan Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024.

Ini melibatkan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun yang akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Rebecca Muhie, 29, seorang pegawai perbankan ketika ditemu bual Utusan Borneo hari ini berkata, beliau bersetuju dengan wujudnya Akaun Fleksibel KWSP tersebut.

"Ini kerana seperti yang kita sedia maklum tidak semua orang bergaji besar dapat menyimpan dalam jumlah yang banyak setiap bulan, apatah lagi untuk mengadakan dana kecemasan untuk enam bulan gaji. 

"Jadi dengan wujudnya struktur baharu Akaun 3 KWSP ini ia akan memudahkan orang ramai untuk mengeluarkan dana kecemasan tanpa rasa bingung kerana kita sudah mengetahui bahawa adanya pelan sokongan," ujarnya.

Beliau turut berharap agar orang ramai lebih memahami manfaat Akaun Fleksibel berkenaan agar dapat menjamin simpanan yang lebih kukuh pada masa depan.

Sementara itu, Pengurus Produksi Carrie David, 42, berkata Akaun Fleksibel akan tersedia apabila ada keperluan untuk mengeluarkan wang bagi waktu kecemasan atau memerlukan.

"Cuma harapannya, semoga prosesnya lancar dan cepat kerana boleh dibuat secara dalam talian.

"Serta bagi mereka yang tidak mahir komputer, buatkan ia untuk mudah diakses yang boleh dilakukan secara manual di mana-mana pejabat KWSP atau pejabat kerajaan yang lainnya," tambah beliau.

Sependapat dengan keduanya, Juru Ukur Bahan Matthaeus Entika, 29, bagaimanapun mengingatkan rakyat Malaysia cuma membuat pengeluaran sekiranya benar-benar perlu.

Kemudahan ini tegas beliau, boleh mendatangkan kebaikan sekiranya digunakan dengan sewajarnya, namun tanpa disiplin dan tangungjawab ia juga boleh merugikan seseorang.

Sebagai belia katanya, ia mungkin sesuatu yang amat baik bagi memulakan kehidupan berumah tangga, bayaran rawatan ketika sakit atau sebagai pembayaran permulaan kenderaan untuk turun bekerja.

Menurut kenyataan KWSP pada Khamis, simpanan dalam Akaun Fleksibel itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

Antara 11 Mei dan 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali saja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.
 

  • oleh
  • Advertisement