Anda di sini

Tuntutan naik gaji tidak diendah, pekerja ugut tumbuk eksekutif HR didenda RM1,500

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pentadbir sebuah syarikat pembinaan didenda RM1,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut untuk mencederakan eksekutif sumber manusianya (HR) berhubung permintaan kenaikan gaji.

Kelvin Law Hee Chai, 41, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan selepas didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Law melakukan kesalahan itu di premis pejabat syarikat itu di jalan Lapangan Terbang di sini pada jam 1.20 tengah hari, 24 April 2024.

Berdasarkan fakta kes, Law menghubungi eksekutif HR syarikat dan mengatakan bahawa dia mahu menumbuknya.

Siasatan mendapati Law telah meminta kenaikan gaji sebanyak RM4,000 daripada eksekutif HR dan syarikat tetapi tidak diendahkan.

Ugutan yang dibuat oleh Law telah menimbulkan ketakutan kepada mangsa yang tidak pernah mengalami kejadian seperti itu.

Kes itu didakwa oleh Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala Law tidak diwakili peguam bela.
 

Advertisement