Anda di sini

Wanita, 31, banduan pertama di Sarawak dibebas di bawah PBSL, diletak di bawah tahanan rumah

Advertisement
Teyun (duduk, tengah) pada Program Perintah Tahanan Rumah melalui Pelepasan Banduan Secara Lesen (TR-PBSL) 2024 di Penjara Pusat Sibu, hari ini.
Teyun (duduk, tengah) pada Program Perintah Tahanan Rumah melalui Pelepasan Banduan Secara Lesen (TR-PBSL) 2024 di Penjara Pusat Sibu, hari ini.


 
SIBU: Seorang wanita berusia 31 tahun menjadi banduan pertama di Sarawak yang dibebaskan di bawah Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan diletakkan di bawah perintah tahanan rumah untuk menjalani baki bulan hukumannya.

Nini (bukan nama sebenar) juga merupakan banduan keempat di seluruh Malaysia yang diletakkan di bawah perintah tahanan rumah.

Dia dijatuhi hukuman penjara setahun dan sebulan pada Januari 2024 dan ketika itu dia sedang hamil dua bulan.

"Saya gembira dan bersyukur kerana diberi peluang ini untuk pulang lebih awal daripada pembebasan yang dijadualkan, saya boleh pulang ke rumah keluarga, melahirkan bayi di luar Penjara Sibu.

"Perkara pertama yang saya akan lakukan apabila saya pulang ialah bertemu anak-anak saya dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Pusat Sibu, hari ini.

Nini memberitahu, dia mempunyai dua lagi anak di rumah masing-masing berusia dua dan tiga tahun.

Katanya, dia akan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara dan menamatkan hukuman itu.

Sementara itu, Pengarah Penjara Sarawak Teyun Thian Eim berkata, Nini memenuhi salah satu kriteria untuk dibebaskan di bawah PBSL melalui tahanan rumah kerana dia sudah berada dalam trimester ketiga iaitu hamil 28 minggu.

Beliau berkata, jabatan itu mematuhi Peraturan 64 di bawah The Bangkok Rules yang menyatakan hukuman tanpa tahanan untuk wanita mengandung dan wanita dengan anak-anak tanggungan harus diutamakan, di mana boleh dan sesuai, dengan hukuman tahanan dipertimbangkan apabila kesalahan tersebut adalah serius atau ganas atau wanita tersebut adalah ancaman yang berterusan, dan selepas mengambil kira kepentingan terbaik anak atau anak-anak tersebut, sambil memastikan bahawa peruntukan sesuai telah dibuat untuk penjagaan anak-anak berkenaan.

"Kami mengikut peraturan standard yang ditetapkan di peringkat antarabangsa. Kami tidak melepaskan sesiapa sahaja walaupun kami percaya bahawa hukuman penjara bukanlah penyelesaian bagi peningkatan kes jenayah. Kami berasakan pemulihan komuniti adalah lebih berkesan," jelasnya.

Kriteria lain katanya, termasuk banduan dijatuhkan hukuman penjara empat tahun ke bawah, banduan warga emas berumur sekurang-kurangnya 70 tahun dan banduan golongan kelainan upaya (OKU).

"Selain tu, satu perkara yang perlu diingat bahawa tahanan di rumah hanya boleh diberikan sekiranya ahli keluarga atau saudara mara sudi menerima banduan di rumah mereka, atau badan bukan kerajaan (NGO) bersedia menerima mereka sehingga banduan selesai menjalani hukuman," katanya sambil menambah hanya rakyat Malaysia yang layak untuk program itu.

Teyun menjelaskan, tahanan rumah di Malaysia berbeza dengan tahanan rumah yang diamalkan di negara-negara lain.

Di Malaysia katanya, tahanan rumah adalah untuk pesalah yang telah dijatuhkan hukuman penjara, manakala di beberapa negara, hukuman tahanan rumah adalah di bawah bidang kuasa mahkamah.

"Maksudnya di sini, semua kuasa berada di tangan Jabatan Penjara, bukan mahkamah," katanya.

Teyun juga berkata, pegawai penjara sudah mengenal pasti sama ada banduan layak ditahan di rumah sebaik banduan memasuki penjara.

"Pegawai penjara akan mengasingkan rekod dan akan menyemak semula jika banduan benar-benar memenuhi kriteria yang diperlukan.

"Jika mereka telah memenuhi kriteria, kami akan segera memproses pembebasan mereka di bawah PBSL," jelasnya sambil menambah tiada permohonan daripada banduan diperlukan.

Teyun menegaskan, jika banduan di bawah tahanan rumah melanggar peraturan, mereka akan dihantar semula ke penjara dan akan didakwa di mahkamah kerana melanggar peraturan pembebasan.

Sementara itu, beliau berkata, mengikut data 17.6 peratus banduan yang telah dibebaskan selepas tamat hukuman dan tanpa mengikuti sebarang program akan kembali ke penjara selepas tiga tahun.

Bagaimanapun, hanya 0.24 peratus banduan yang dibebaskan secara parol dan menjalani program pemulihan komuniti akan kembali ke penjara selepas tiga tahun, katanya.

"Jadi, penjara bukanlah penyelesaian kepada jenayah yang semakin meningkat dalam masyarakat. Jadi, kita perlu memberi sokongan kepada banduan ini apabila mereka keluar dari pintu penjara.

"Sebab itu, kebiasaannya sebelum banduan ini dibebaskan, kita sentiasa membimbing atau memantau mereka," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement