Anda di sini

Banjir, tanah runtuh ragut 155 nyawa di Tanzania: PM

Advertisement
Penduduk dipindahkan dengan menaiki bot dari kawasan terjejas teruk akibat banjir selepas hujan lebat di kampung Mohoro, Daerah Rufiji baru-baru ini. — Gambar AFP
Penduduk dipindahkan dengan menaiki bot dari kawasan terjejas teruk akibat banjir selepas hujan lebat di kampung Mohoro, Daerah Rufiji baru-baru ini. — Gambar AFP

DAR ES SALAAM: Sekurang-kurangnya 155 orang terbunuh di Tanzania ketika hujan lebat yang dikaitkan dengan El Nino menyebabkan banjir dan tanah runtuh, kata Perdana Menteri Kassim Majaliwa kelmarin.

Beliau memberitahu parlimen bahawa kira-kira 200,000 orang telah terjejas dan terdapat kerosakan ketara di beberapa bahagian di negara, dengan banyak rumah, infrastruktur dan tanaman yang musnah.

El Nino sering mempunyai kesan yang memusnahkan di Afrika Timur, sebuah wilayah yang telah berulang kali dilanda oleh kejutan iklim.

Di Kenya, 13 orang maut dalam banjir kilat yang melanda ibu negeri Nairobi pada minggu ini, sementara 100,000 orang hilang tempat tinggal di Burundi akibat penurunan hujan yang berterusan selama beberapa bulan.

“Hujan El Nino yang lebat, diikuti oleh angin kuat, banjir dan tanah runtuh di beberapa bahagian di negara, telah menyebabkan kerosakan ketara,” kata Majaliwa.

“Ini termasuk kehilangan nyawa, kemusnahan tanaman, rumah, harta benda penduduk dan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan landasan kereta api,” tambahnya.

“Akibatnya lebih 51,000 isi rumah dan 200,000 orang telah terjejas, dengan 155 kematian, kira-kira 236 tercedera, serta lebih 10,000 rumah rosak atau musnah.”

Pada lewat tahun lepas lebih 300 orang maut akibat hujan lebat dan banjir di Kenya, Somalia dan Ethiopia semasa wilayah itu sedang dalam keadaan pulih dari kesan kemarau paling teruk dalam empat dekad.

Dari Oktober 1997 hingga Januari 1998, banjir besar telah menyebabkan lebih 6,000 kematian di lima negeri di rantau itu. — AFP
 

Advertisement