Anda di sini

Fadillah cadang syarat deposit RM2 juta, beli hartanah RM1.5 juta untuk tarik peniaga berhijrah ke Sarawak

Advertisement
Fadillah ditemani Ibrahim menyampaikan hadiah pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Zon 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok serta Perasmian Perpustakaan Desa di Dewan Haji Kamarudin di Kampung Segedup, hari ini.
Fadillah ditemani Ibrahim menyampaikan hadiah pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Zon 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok serta Perasmian Perpustakaan Desa di Dewan Haji Kamarudin di Kampung Segedup, hari ini.

KUCHING: Sarawak dicadang mengenakan syarat kepada peniaga atau pelabur yang berminat untuk berhijrah ke negeri ini agar mendepositkan sekurang-kurangnya RM2 juta atau membeli hartanah tidak kurang daripada RM1.5 juta.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ramai rakan-rakan perniagaannya dari Semenanjung dan Sabah menyatakan hasrat ingin berhijrah ke sini susulan prospek perniagaan dan pelaburan yang ada di Sarawak.

"Oleh itu, saya mahu mencadangkan kepada Premier Sarawak memandangkan kelak kita ada bank sendiri, mereka yang ingin berhijrah ke Sarawak perlu dikenakan deposit minimum RM2 juta ke dalam akaun deposit tetap milik negeri ini.

"Ataupun mereka boleh membeli hartanah di sini tidak kurang daripada RM1.5 juta. Sekurang-kurangnya dengan cara ini, kita dapat menjana lebih banyak pendapatan kepada negeri kita dan pada masa sama, mereka juga boleh mendapat status penduduk tetap (PR) di Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis-Ramah Tamah Zon 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok serta Perasmian Perpustakaan Desa di Dewan Haji Kamarudin di Kampung Segedup di sini, hari ini.

Turur hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki dan tetamu kehormat lain.

Menurut Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, salah satu syarat untuk mendapatkan status PR di Malaysia ialah pemohon perlu membuat pelaburan di negara ini.

"Wang itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam simpanan tetap dan sebagainya... itu akan meningkatkan lagi pendapatan negara kita.

"Dan, sudah pasti kita juga akan mempunyai individu berkualiti yang datang berhijrah dan membantu membangunkan negeri dan negara kita," katanya.

Pada majlis sama, Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Segedup yang terletak berhampiran Dewan Haji Kamarudin.
 

  • oleh
  • Advertisement