Anda di sini

Julaihi mohon kerajaan Sarawak pertimbang bina esplanad di Sebuyau

Advertisement
Julaihi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Wan Junaidi selepas majlis tersebut sambil disaksikan Toh Puan Fauziah (kanan) serta Abang Johari (dua kiri). - Gambar UKAS
Julaihi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Wan Junaidi selepas majlis tersebut sambil disaksikan Toh Puan Fauziah (kanan) serta Abang Johari (dua kiri). - Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta untuk mempertimbangkan pembinaan sebuah esplanad di Sebuyau sebagai satu tarikan kepada pelancong ke daerah itu nanti.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi berkata, dengan siapnya Jambatan Batang Lupar, Sebuyau pasti menjadi laluan dan tempat persinggahan mereka yang melaluinya.

“Kita berharap satu esplanad dapat dipertimbangkan berhampiran dengan Jambatan Batang Lupar nanti yang juga berdekatan dengan Jalan Utama Kedua negeri ini.

“Dengan pemandangan di Jambatan Batang Lupar, jalan persimpangan menunju ke Lingga, esplanad ini pasti menjadi tarikan pada masa akan datang.

“Mungkin ada rezeki perkongsian (pendapatan negeri) Premier kita dapat mempertimbangkan untuk membinanya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidifitri Daerah Sebuyau yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini.

Julaihi dalam pada itu menggesa agar pembinaan kompleks pentadbiran baharu di daerah itu dipercepatkan.

Katanya, memandangkan pembinaannya telah diluluskan, maka ia harus disegerakan supaya memberi keselesaan kepada pegawai yang ditempatkan di Pejabat Daerah Sebuyau.

“Selain itu, kini sudah tiba masanya juga Sebuyau mempunyai stadium mini untuk membolehkan anak-anak muda mengadakan aktiviti berkaitan.

“Tapaknya sudah ada iaitu di Bandar Baharu Sebuyau dan ini bagi memenuhi keperluan anak-anak muda kita,” katanya.

Julaihi turut memohon agar kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan kawasan perindustrian di Sebuyau yang telah lama diluluskan sebelum ini.

Katanya, pembinaan kawasan perindustrian berkenaan bagaimanapun tergendala memandangkan terdapat masalah tapak.

“Ini amat penting supaya pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dan industri lain yang berasaskan sektor pertanian dan perikanan dapat diaktifkan di kawasan ini,” tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement