Anda di sini

Kejohanan Liga Bola Tampar anjuran MVA saksikan persaingan 14 pasukan

Advertisement
Para peserta Kejohanan Liga Bola Tampar merakamkan gambar kenang-kenangan bersama tetamu jemputan.
Para peserta Kejohanan Liga Bola Tampar merakamkan gambar kenang-kenangan bersama tetamu jemputan.

MIRI: Kejohanan Liga Bola Tampar anjuran Persatuan Bola Tampar Miri (MVA) menyaksikan penyertaan sembilan pasukan lelaki dan lima pasukan wanita. 

Presiden MVA yang juga Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) Alan Ling merasmikan liga tersebut di gelanggang bola tampar Riam Road Secondary School (RRSS) di sini, baru-baru ini. 

Ling dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur di bawah pimpinan Lee Say Hou bersama ahli jawatankuasanya kerana berjaya menganjurkan kejohanan liga ini yang cadangannya dikemukakan kepada beliau sebelum ini dan kini menjadi kenyataan. 

“Idea keseluruhan untuk menganjurkan liga dan bukannya pertandingan adalah kerana liga akan mempunyai perlawanan yang berlangsung dalam tempoh yang lebih lama, sekali gus boleh mendatangkan kesan yang lebih lama untuk merangsang minat terhadap sukan. 

“Perlawanan liga ini diadakan dari 19 April hingga 9 Jun dan berlangsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad di tiga gelanggang masing-masing di RRSS, Sekolah Menengah Pei Min dan Universiti Curtin Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media di sini. 

Dalam pada itu, Ling turut memberitahu terdapatnya peningkatan bilangan pemain daripada kaum Bumiputera dalam sukan bola tampar dan ini merupakan satu petanda yang sangat positif. 

“Sukan adalah platfrom terbaik untuk menggalakkan keharmonian kaum dan integrasi nasional. 

“Semua jenis sukan tidak hanya khusus pada satu-satu kaum sahaja dan selagi mana anda berminat, saya galakkan anda ceburi sukan tersebut. 

“Beberapa tahun kebelakangan ini, saya melihat trend lebih ramai pemain bola tampar dari kalangan Bumiputera dan ini menjadi petanda sangat baik untuk pembangunan sukan bola tampar agar menjadi sukan pilihan ramai, bukan hanya dipandang sebagai sukan khusus untuk masyarakat Cina,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Penasihat Undang-Undang MVA Lawrence Low, Setiausaha MVA Ivy Ting, Bendahari MVA Henry Ho dan Pengetua RRSS Kong Pei Chuen. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai liga ini, orang ramai boleh melayari Facebook rasmi MVA https://www.facebook.com/MiriVolleyballAssociation.

  • oleh
  • Advertisement