Anda di sini

Lee adakan lawatan kerja ke MIROS

Advertisement
Lee (kiri) mengetuai delegasi MOTS melawat Ibu Pejabat MIROS di Selangor pada Khamis.
Lee (kiri) mengetuai delegasi MOTS melawat Ibu Pejabat MIROS di Selangor pada Khamis.

KUCHING: Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin mengadakan lawatan kerja ke Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di Selangor pada Khamis. 

Lawatan tersebut bertujuan meningkatkan kerjasama dan mewujudkan perkongsian kukuh antara Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan MIROS.

Pada lawatan itu, delegasi MOTS diketuai Lee diberi taklimat oleh Profesor Dr Wong Shaw Voon selaku Pengerusi MIROS mengenai fungsi dan operasi terkini institut itu.

Semasa lawatan itu, delegasi turut menyaksikan video demonstrasi ujian pelanggaran lalu lintas di Bilik Pameran MIROS serta demonstrasi secara langsung prestasi gangguan pemandu menggunakan simulator memandu.

Perbincangan yang diadakan semasa lawatan itu merangkumi beberapa aspek berkaitan keselamatan jalan raya di Sarawak.

Ini termasuk audit keselamatan jalan raya dan prosedur penarafan bintang, penyiasatan dan analisis kemalangan jalan raya serta pelaksanaan Program Penilaian Jalan Raya Malaysia (MyRAP).

Melangkah ke hadapan, MOTS berhasrat untuk bekerjasama dengan MIROS bagi membangun dan melaksanakan inisiatif keselamatan jalan raya di seluruh Sarawak.

MOTS juga berhasrat untuk meningkatkan standard keselamatan jalan raya secara keseluruhan dan mengurangkan insiden kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut dengan berkesan.

Advertisement