Anda di sini

Pasukan teliti kos, reka bentuk Pusat Kanser Sarawak sudah dibentuk: Fadillah

Advertisement
Fadillah ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Zon 4  DUN Satok di Kampung Segedup, hari ini.
Fadillah ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Zon 4 DUN Satok di Kampung Segedup, hari ini.

KUCHING: Kerajaan persekutuan sudah membentuk pasukan untuk meneliti keseluruhan kos serta reka bentuk bagi pembinaan Pusat Kanser Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, ia susulan persetujuan yang dicapai untuk membina pusat tersebut menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak terlebih dahulu.  

"Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, beliau bersetuju untuk Sarawak memulakan dahulu pembinaan Pusat Kanser Sarawak melalui pembiayaan kerajaan negeri. 

"Atas persetujuan itu, sekarang kita sudah membentuk pasukan bagi melihat kos dan reka projek tersebut yang nanti akan dibayar balik oleh kerajaan persekutuan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Zon 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok serta Perasmian Perpustakaan Desa di Dewan Haji Kamarudin di Kampung Segedup di sini, hari ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, langkah yang diambil Sarawak membuktikan pendapatan serta politik di negeri ini amat stabil sehingga kerajaan dapat memfokuskan kepada usaha membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat. 

"Hanya negeri ini yang mampu berbuat demikian. Belum ada kerajaan negeri lain yang memberi pinjaman kepada kerajaan pusat, Sarawak adalah satu-satunya," kata Fadillah.

Oleh itu, beliau memberitahu model itu akan digunakan oleh kerajaan untuk membangunkan kemudahan lain termasuk klinik serta membina semula atau membaik pulih sekolah daif di negeri ini. 

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan terus dilaksanakan demi rakyat dan pada masa yang sama mengembangkan peluang ekonomi," katanya. 

Pada 30 Mac, Anwar dilaporkan bersetuju dengan pendekatan baharu yang dicadangkan oleh Sarawak dengan kerajaan negeri memulakan pembinaan dengan pembiayaan sendiri terlebih dahulu, manakala kos kemudian akan ditampung oleh pusat.  

Beliau berkata, usaha kerjasama itu sebagai yang pertama dilaksanakan di Malaysia bertujuan mempercepatkan penubuhan pusat kanser bagi menampung keperluan penjagaan kesihatan pesakit kanser di Sarawak.

Kerajaan Sarawak mencadangkan untuk menyediakan sejumlah RM1 bilion bagi membiayai pembinaan fizikal pusat kanser itu, selepas itu kerajaan persekutuan bertanggungjawab menyediakan pakar perubatan serta peralatan.
 

  • oleh
  • Advertisement