Anda di sini

Pekebun kecil sawit dapat manfaat menerusi pensijilan MSPO dan RSPO: Johari

Advertisement
Johari (tengah) merakamkan kenangan bersama tetamu kenamaan dan peserta bengkel sejurus selesai perasmian program di Bintulu hari ini.
Johari (tengah) merakamkan kenangan bersama tetamu kenamaan dan peserta bengkel sejurus selesai perasmian program di Bintulu hari ini.

BINTULU: Pekebun kecil kelapa sawit di negara ini khususnya di Sarawak akan mendapat manfaat menerusi program pensijian Minyak Kelapa Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit (RSPO), kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurutnya, pensijilan itu akan memastikan pekebun mengeluarkan buah dan produk sawit berkualiti tinggi, selain mempraktikkan corak penanaman kelapa sawit yang mampan dan mengambil berat akan kebersihan alam sekitar sebagaimana ditetapkan piawaian antarabangsa.

"Siri jelajah MSPO dan RSPO ini secara tidak langsung akan membolehkan semua pekebun kecil mendapatkan maklumat berguna mengenai pensijilan MSPO terutama kaedah penanaman kelapa sawit yang mampan serta memenuhi syarat ditetapkan bagi menghasilkan buah sawit yang berkualiti tinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Pengenalan Standard MSPO (MS2530:2022) dan Aspek Sosial Dalam Perniagaan yang diadakan di Hotel Margherita Plaza di sini, hari ini.

Program berkenaan dihadiri lebih 400 peserta yang terdiri daripada pekebun kecil kelapa sawit di bahagian ini.

Pekebun kecil di Bintulu jelasnya, merupakan sebahagian daripada 440,000 pengusaha tanaman komoditi sawit secara individu atau kecil-kecilan yang terdapat di seluruh negara.

Justeru katanya, pemain industri kelapa sawit memainkan peranan yang cukup signifikan dalam menyumbang kepada ekonomi negara, khususnya menaikkan taraf sosioekonomi setiap pengusahanya.

"Amalan penanaman kelapa sawit yang betul dan mampan pada masa sama akan membolehkan mereka memperolehi hasil sawit yang berkualiti dan mudah untuk dipasarkan tanpa sebarang isu atau masalah pada masa hadapan," tegas Johari. 

Sementara itu, beliau menggesa Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) tampil dengan penjelasan yang lebih jelas mengenai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi membolehkan ia didokumenkan dengan jelas, khususnya bagi kawasan yang dimajukan dengan kelapa sawit.

Melalui dokumen yang lengkap dan jelas katanya, akan membantu memudahkan kementerian menerangkan kepada pihak berkaitan bagaimana tanah adat berkenaan dimajukan dengan penanaman kelapa sawit dan diurus dengan baik oleh setiap pengusahanya.
 

Advertisement