Anda di sini

Pendidikan berlandaskan al-Quran teras lahir modal insan

Advertisement
 Juhar diiringi Shahelmey (kanan) dan Mohd Arifin (kiri) menyampaikan hadiah kepada johan qari mewakili daerah Putatan Nashraf Ideen Nahar.
TAHNIAH: Juhar diiringi Shahelmey (kanan) dan Mohd Arifin (kiri) menyampaikan hadiah kepada johan qari mewakili daerah Putatan Nashraf Ideen Nahar.

PUTATAN: Pendidikan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah harus dijadikan teras bagi melahirkan modal insan untuk memperkasakan bangsa dan negara dalam mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk membawa Sabah ke tahap yang lebih maju dan cemerlang.

Katanya, ia sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, komitmen itu diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada aspek pemerkasaan pendidikan dan latihan, pengupayaan sektor ekonomi serta pengukuhan hubungan, termasuk persefahaman antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini.

"Islam sentiasa memberikan penekanan kepada konsep hidup bermasyarakat dan bernegara, manakala al-Quran, sebagai kitab suci umat Islam, memimpin ke arah penyatuan, kesatuan dan perpaduan ummah sebagai landasan menjayakan apa jua perancangan demi kemajuan negeri dan negara.

"Tidak akan tercapai kejayaan tanpa adanya perpaduan yang akan mensejahterakan ummah dan negara, justeru ukhuwah perlu dijalin untuk membentuk perpaduan.

"Untuk mengangkat citra bangsa dan keagungan agama, setiap umat Islam harus mempertahankan kesatuan dan memperkasakan perpaduan yang selama ini kita bina bersama," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Penangguhan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1445H/2024H di sini semalam. Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmy Yahya. 

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin menjadi tetamu kehormat majlis itu. Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Katanya, dengan populasi yang terdiri daripada pelbagai bangsa, suku kaum dan kumpulan etnik, aktiviti positif memupuk dialog antara budaya dan agama, serta saling bekerjasama ke arah kemajuan dan kejayaan, sangat penting dan berupaya memperkukuhkan keharmonian kaum serta perpaduan rakyat.

Hajiji turut mengajak semua pihak agar sentiasa menyedari dan menginsafi dalam menjalani hidup bermasyarakat terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum, persefahaman, permuafakatan dan saling hormat menghormati adalah satu obligasi yang amat dituntut oleh agama.

Menurutnya, al-Quran adalah sumber rujukan bagi membangunkan tamadun umat manusia yang lengkap dengan ajaran dan khazanah Ilmu pengetahuan bagi memenuhi keperluan ummah seiring dengan tuntutan syariat. 

"Justeru, amat penting bagi kita untuk memahami, mendalami dan menghayati setiap isi kandungan kitab suci al-Quran, kemudian mengaplikasikannya dalam kehidupan kita seharian," katanya.

Beliau berkata, penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran adalah wadah terbaik dan platform bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam pelbagai bidang menerusi pemahaman dan penghayatan terhadap kandungan kitab suci al-Quran.
 

Advertisement