Anda di sini

Sarawak dijangka capai SSR beras 2027: Abang Johari

Advertisement
Tun Wan Junaidi (empat kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak asnaf di Daerah Sebuyau. Turut disaksikan, Abang Johari (dua kiri), Julaihi (tiga kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (kiri). - Gambar Penerangan
Tun Wan Junaidi (empat kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak asnaf di Daerah Sebuyau. Turut disaksikan, Abang Johari (dua kiri), Julaihi (tiga kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (kiri). - Gambar Penerangan

KUCHING: Sarawak dijangka mampu mencapai pengeluaran kadar sara diri (SSR) beras menjelang 2027, sekali gus tidak lagi bergantung kepada beras import.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jangkaan itu susulan daripada projek penanaman padi menggunakan benih hibrid yang telah dijalankan di beberapa kawasan di negeri ini.

Ia katanya, sekali gus membolehkan Sarawak mampu mengeksport beras ke tempat lain.

“Dari segi keterjaminan makanan, kita telah melancarkan ekonomi hijau. Di Gedong misalnya, kita menggunakan cara baharu dalam penanaman padi yang mana mereka (petani) mampu menghasilkan lapan tan semusim.

“Dengan cara baharu ini, dalam 24 bulan ada lima musim dan dalam tempoh berkenaan mereka (petani) mampu menghasilkan 40 tan padi. Jika kita kira-kira pada 2026 atau 2027, kita mencapai kadar sara diri beras dan tidak perlu mengimport lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidifitri Daerah Sebuyau yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini.

Menurut Abang Johari, Sarawak dijangka mampu mencapai SSR kerana projek penanaman padi berkenaan bukan sahaja dilaksanakan di Lubok Punggor, Gedong tetapi juga di kawasan lain yang telah dikenal pasti.

Antaranya di Simunjan, Lundu, Banting serta Lingga yang mampu mengeluarkan beras sekali ganda lebih banyak daripada jumlah yang diimport ketika ini.

“Jadi, kita mungkin menjadi pengeksport beras kepada orang lain di luar,” jelasnya.

Tun Wan Junaidi (empat kanan) dan Toh Puan Fauziah (tiga kanan) bersama Abang Johari (tiga kiri) membelah lemang sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidifitri Daerah Sebuyau, hari ini. Turut kelihatan, Julaihi (dua kiri) serta tetamu kenamaan lain. - Gambar UKAS
Tun Wan Junaidi (empat kanan) dan Toh Puan Fauziah (tiga kanan) bersama Abang Johari (tiga kiri) membelah lemang sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidifitri Daerah Sebuyau, hari ini. Turut kelihatan, Julaihi (dua kiri) serta tetamu kenamaan lain. - Gambar UKAS

Sementara itu, berhubung permohonan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau tentang ganti penuh atau pembinaan semula Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau, Abang Johari berkata kerajaan negeri bersetuju dengan perkara berkenaan.

Katanya, pembinaan projek tersebut akan menggunakan peruntukan dana daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Biar Sarawak buat dahulu (bina sekolah ini), kemudian kita akan buat tuntutan daripada kerajaan persekutuan dan mereka (persekutuan) telah bersetuju.

“Disebabkan persetujuan ini, saya berani menggunakan dana kita dahulu untuk membina sekolah di Sebuyau.

“Saya telah bertanya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri kita tentang anggaran pembinaan, beliau menyatakan antara RM50 juta dan RM60 juta,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memberitahu Pengarah Pendidikan Negeri mengenai pelaksanaan pembinaan sekolah terbabit.

Sebelum ini katanya, beliau telah menyatakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pendidikan amat penting kepada Sarawak, namun banyak sekolahnya masih berada dalam keadaan usang.

Justeru katanya, beliau memohon agar Sarawak menggunakan dananya sendiri terlebih dahulu untuk membina semula atau membaik pulih sekolah usang dan kemudiannya akan menuntut semula dana daripada persekutuan.

“Pembinaan sekolah ini bukan sahaja di kawasan Sebuyau, tetapi kawasan lain seperti di Gedong, Simunjan, Bintulu, Mukah dan sebagainya, di mana kita naik taraf sekolah usang menggunakan dana Sarawak terlebih dahulu.

“Semua ini dapat kita lakukan kerana perpaduan yang utuh dalam kalangan kita yang membolehkan pemimpin dapat mencari kewangan bagi membina infrastruktur kepada rakyat,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement