Anda di sini

Alcaraz dalam misi pertahan kejuaraan

Advertisement
 Alcaraz beraksi menentang Shevchenko pada Kejohanan ATP Terbuka Madrid di Caja Magica di Madrid. — Gambar AFP
Alcaraz beraksi menentang Shevchenko pada Kejohanan ATP Terbuka Madrid di Caja Magica di Madrid. — Gambar AFP

MADRID: Carlos Alcaraz kembali selepas sebulan berehat untuk mula mempertahankan kejuaraan Terbuka Madrid dengan kemenangan meyakinkan 6-2, 6-1 ke atas Alexander Shevchenko semalam.

Pemain nombor tiga dunia itu bersinar di gelanggang tanah air sendiri di ibu negara Sepanyol itu untuk mara ke pusingan ketiga, selepas masalah lengan menyebabkan dia menarik diri daripada Masters Monte Carlo dan Terbuka Barcelona.

“Ia bulan yang agak sukar bagi saya, dengan ketidakpastian bilakah saya akan kembali,” kata Alcaraz.

“Keutamaan hari ini adalah untuk melihat keadaan saya, dalam perlawanan yang sukar.

“Perasaan sangat baik, dan saya fikir saya bermain pada tahap yang sangat baik. Saya sangat gembira dan ia keseronokan untuk bermain di sini di Madrid lagi.”

Memakai pelindung di lengan kanannya, pemenang dua kali Grand Slam Alcaraz dengan pantas menghilangkan sebarang keraguan selepas menamatkan set pertama dengan cemerlang.

Pemain Sepanyol berusia 20 tahun itu begitu menarik seperti biasa, kerap menyerang, dan menang permainan kelima untuk mendahului 4-1.

Pemenang Indian Wells, Alcaraz terkena jaring untuk memberi mata kepada pemain Kazakhstan tetapi mendahului lagi 5-2 dan memenangi set.

Alcaraz mendahului 3-0 pada set kedua tetapi sekali lagi membenarkan lawannya yang berusia 23 tahun untuk mengurangkan defisit sebelum menyerang balik dengan mata kemenangan ketiga, yang menjadi 5-1.

Pemenang Madrid 2022 dan 2023 dan pilihan kedua itu menamatkan kemenangannya dalam masa lebih sejam apabila pukulan Shevchenko tersasar.

Alcaraz akan menentang Thiago Seyboth Wild pada pusingan ketiga selepas pemain Brazil itu mengejutkan Lorenzo Musetti 6-4, 6-4.

Andrey Rublev menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dengan kemenangan 6-1, 6-4 ke atas Facundo Bagnis.

Selepas mematahkan raketnya di Barcelona dan dibuang daripada pertandingan di Dubai akibat hilang sabar, Rublev menikmati pagi yang lebih tenang di ibu negara Sepanyol.

Rublev akan menentang pemain Sepanyol, Alejandro Davidovich Fokina pada pusingan ketiga.

“Rasanya amat hebat selepas bermula dengan kemenangan dan saya gembira dengan persembahan saya,” kata Rublev.

“Saya rasa saya bermain perlawanan yang baik, terutamanya pusingan pertama untuk berada dalam keadaan yang berbeza berbanding kejohanan lain, dan saya bermain pada tahap yang baik.” — AFP 

Advertisement