Anda di sini

Tiga fasiliti sukan di Miri dinaik taraf untuk SUKMA Sarawak

Advertisement
Awang Putrayusrie (dua kanan) diberi penerangan oleh Netty (dua kiri) berkenaan kerja-kerja naik taraf dan baik pulih yang akan dijalankan pada Stadium Miri. 
Awang Putrayusrie (dua kanan) diberi penerangan oleh Netty (dua kiri) berkenaan kerja-kerja naik taraf dan baik pulih yang akan dijalankan pada Stadium Miri. 

MIRI: Sebanyak tiga fasiliti sukan di Miri sedang dan akan dijalankan kerja-kerja naik taraf untuk digunakan pada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 2024 Sarawak yang melibatkan peruntukan sebanyak RM7 juta. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata tiga fasiliti sukan di Miri yang diluluskan oleh kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan untuk dinaik taraf ialah Stadium Miri, Stadium Bandaraya Miri dan Kampung Sukan Petronas. 

“Kerja-kerja untuk Stadium Bandaraya Miri telah dimulakan dan sekarang sudah 40 peratus, mengikut jadual dan dijangka siap sebelum Julai. 

“Untuk Stadium Miri, kita baharu melantik kontraktor dan kerja-kerja akan dimulakan dalam tempoh minggu depan, begitu juga dengan perkampungan sukan akan dimulakan kerja-kerja naik taraf minggu depan dan insya-Allah akan siap sebelum SUKMA 2024,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melakukan lawatan tinjauan kerja-kerja naik taraf dan baik pulih di Stadium Miri, di sini semalam.

Hadir sama memberikan penerangan kemajuan kerja-kerja naik taraf fasiliti sukan tersebut ialah Ketua Zon Utara SSC Netty Elvis. 

Menurut Awang Putrayusrie kerja-kerja naik taraf dan baik pulih fasiliti sukan ini dibuat di semua sembilan bahagian yang terlibat dalam menganjurkan acara sukan pada SUKMA Ke-21 2024 Sarawak dan setakat ini berjalan dengan lancar. 

“Untuk Miri, peruntukan kita minta dengan kerajaan untuk Stadium Bandaraya agak besar iaitu lebih kurang RM4 juta untuk naik taraf dan baik pulih, seperti mana kita tahu stadium ini memang kerap digunakan untuk acara-acara besar bukan setakat acara sukan. 

“Manakala untuk Stadium Miri, kita mohon peruntukan RM2 juta dan perkampungan sukan lebih kurang RM1 juta untuk baik pulih,” jelasnya. 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jumlah tersebut ialah peruntukan yang pihaknya minta daripada kerajaan tetapi selepas perlantikan kontraktor akan turun daripada siling peruntukan yang dimohon. 

Awang Putrayusrie berkata kerajaan Sarawak memperuntukkan bajet yang besar untuk penganjuran SUKMA kali ini memandang ia merupakan acara sukan terbesar semenjak ia mula diperkenalkan pada tahun 1986 dimana kali ini terdapat 37 sukan dipertandingkan dan melibatkan 484 acara sukan. 

SUKMA Ke-21 2024 Sarawak bakal berlangsung 17 hingga 24 Ogos depan. 

  • oleh
  • Advertisement