Anda di sini

35 usahawan PMKS zon Tawau terima bantuan kerajaan negeri

Advertisement
 Suryady bersama usahawan PMKS zon Tawau yang menerima bantuan SME-Up.
BANTUAN: Suryady bersama usahawan PMKS zon Tawau yang menerima bantuan SME-Up.

TAWAU: Seramai 35 usahawan tempatan di daerah ini menerima peruntukan daripada kerajaan negeri menerusi bantuan SME-Up bagi membantu meningkatkan pengeluaran produk mereka.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, semua usahawan berkenaan adalah daripada permohonan yang diterima tahun lepas.

Katanya, tahun lepas, kerajaan negeri sudah meluluskan sebanyak RM15 juta bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya mereka boleh bersaing dengan usahawan di seluruh negara.

“Bantuan itu termasuklah menyediakan mesin pembuatan, mendapatkan sijil Halal, sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan bantuan digitalisasi.
“Semua usahawan berkenaan masing-masing menerima bantuan sehingga RM20,000 berdasarkan keperluan dan permohonan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan PMKS Sabah Zon Tawau dan Rumah Terbuka Aidilfitri, di sini, semalam. Turut hadir, Pegawai Daerah Kalabakan, Muhammad Haji Mohd Ali.

Suryady berkata, tahun ini kementeriannya akan membuka permohonan serupa kepada usahawan PMKS di seluruh negeri Sabah.

“Justeru, saya berharap semua usahawan PMKS yang berdaftar diminta supaya tidak melepaskan peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan negeri ini,” katanya.

 Suryady bersama tetamu yang hadir pada karnival yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau.
HADIR: Suryady bersama tetamu yang hadir pada karnival yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau.

Mengulas mengenai majlis itu, katanya, ia bertujuan untuk membantu usahawan PMKS di zon Tawau menerokai pasaran baharu di samping meningkatkan hasil jualan produk mereka.

“Usahawan boleh mempamerkan produk mereka di pasaraya terpilih di daerah ini dan ia adalah usaha kementerian mempromosikan produk-produk tempatan.

“Saya berharap dengan adanya karnival seperti ini dapat meningkatkan jualan dan memastikan usahawan PMKS di sini lebih berjaya,” katanya.

Sementara itu, Suryady yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, kementerian akan mewujudkan Pusat Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) atau IKS Mart untuk parlimen Kalabakan tahun ini.

“IKS Mart adalah salah satu platform untuk usahawan PMKS mempamerkan dan mempromosikan produk mereka,” katanya.

Terdahulu, lebih 5,000 penduduk Tawau dan Kalabakan daripada pelbagai latar belakang etnik serta agama hadir dalam karnival berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement