Anda di sini

Inovasi lebih baik untuk penjawat awam 

Advertisement

Kerajaan Sarawak sedia kaji dan analisis implikasi keperluan baharu untuk meningkatkan sektor perkhidmatan awam di negeri ini

Abang Johari (lima kiri) sambil disaksikan yang lain membelah lemang sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Pejabat Premier Sarawak. - Gambar UKAS
Abang Johari (lima kiri) sambil disaksikan yang lain membelah lemang sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Pejabat Premier Sarawak. - Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia mengkaji dan menganalisis implikasi keperluan baharu untuk meningkatkan sektor perkhidmatan awam di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beberapa perancangan akan diputuskan setelah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berhubung semakan terma dan syarat penjawat awam di negara ini pada 1 Mei nanti.

Menurut beliau, penjawat awam wajar menerima insentif sekiranya mereka mencapai sasaran prestasi yang ditetapkan.

"Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki untuk menganalisis implikasi terma baharu berkenaan.

"Malah, saya ada idea yang mungkin lebih baik daripada apa yang akan diumumkan pada 1 Mei nanti," katanya dalam laporan berita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Ramah-Tamah Jabatan Premier Sarawak 2024 anjuran Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) dan Unit Pentadbiran (UP) di Autrium Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata pendekatan berhubung lantikan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) dilihat lebih sesuai daripada Skim Pencen Perkhidmatan Awam.

Jelas beliau, dengan adanya JBC, penjawat awam mempunyai akses untuk berpindah dari sektor awam kepada sektor swasta dan syarat perkhidmatan berkenaan lebih baik berbanding skim pencen.

"Jadi, ini adalah satu inovasi dari segi skim perkhidmatan yang kita ingin berikan kepada warga perkhidmatan awam. 

"Saya percaya dengan pendekatan ini, selagi ia dalam kemampuan kewangan, kerajaan akan dapat melaksanakan sistem perkhidmatan yang berdaya saing dan memberi peluang kepada masa depan penjawat awam," tambah beliau.

Pada majlis sama Abang Johari menyempurnakan penyerahan sumbangan ikhlas daripada Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Cares dan MAKSAK Wanita Sarawak kepada 50 penerima yang terdiri daripada warga kerja Jabatan Premier Sarawak. 

Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan hiburan dan cabutan bertuah.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar  Dr  Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta timbalan-timbalan menteri dan kenamaan yang lain.
 

Advertisement