Anda di sini

Ketupat Daun Pucuk Nipah

Advertisement
 
 

Oleh: Roslan Jomel

Seawal pagi, tanpa pengetahuan ibu bapa masing-masing, tiga orang lelaki bertubuh kecil, kelihatan berdiri sambil memegang tepi perahu di atas tebing. Siang belum lagi cerah sepenuhnya. Malahan wajah mereka, seperti baharu bangun daripada tidur. Masih memakai pakaian tidur dengan rambut kusut-masai. Mereka bertiga maklum, air sungai pasang menjelang petang. Sekitar pukul 3.00. Ketika mereka keluar dari rumah, jam baru menunjukkan pukul 7.00 pagi. Sememangnya itulah cadangan mereka untuk turun ke sungai lebih awal. Maka, mereka akan balik sebelum waktu maghrib. Bolehlah bersungkai di rumah Anjang dengan aneka hidangan yang lazat.

     Hampir setengah jam, mereka tetap gagal untuk menghulur perahu yang degil itu  ke permukaan sungai. Pelbagai ikhtiar dilakukan, namun perahu yang biasa digunakan untuk mengail dan menjala ikan itu tetap tidak berganjak. Seolah-olah dilekat gam di bahagian bawah perahu itu. Bongkoi, Lokei dan Kancil tersenyum pahit sesama mereka. Mereka sudah pun menyiram air di bahagian bawah perahu. Kemudian, menggoyang-goyang sisi perahu, ke kiri ke kanan. Tetap sahaja kudrat mereka bertiga, belum mencukupi untuk mengapungkan perahu sebagaimana yang diharapkan. Adakah tiga orang saudara sepupu itu mengalah?

     “Jangan alang-alang. Kancil goyang. Aku dan Lokei tolak,” Bongkoi yang lebih tua daripada Lokei dan Kancil, memberi arahan sekali gus bertindak selaku ketua.

     “Macam tak bergerak seinci pun,” balas Lokei yang lebih lasak dan bertenaga berbanding abangnya, Bongkoi.

     Sementara Kancil, pelajar Tahun 4, lebih banyak tersenyum dan muka sawo matangnya terselindung di balik topi merah bercetak Ejen Ali. 

     Sebelum mereka bertiga berusaha menghulur perahu, Bongkoi turun berkali-kali ke tebing dan mengangkut air sebaldi untuk disiram di bahagian bawah perahu. Petua itu didapatkan daripada arwah datuknya. Begitulah kaedah tiga orang saudara sepupu itu, berulang-ulang melakukan proses yang sama, sebelum haluan perahu itu mencecah permukaan sungai. Masing-masing mengaduh kepenatan sambil membasuh kaki yang berlumuran dengan lumpur. Urusan pertama sudah selesai. Kini mereka bertiga berada di atas perahu untuk meneruskan agenda seterusnya. Semua peralatan sudah disediakan. Parang dua bilah, segulung tali rafia dan cermin mata hitam.

     Tidak lupa, sebotol besar air kosong, cucur bawang dan dua ketul ayam goreng, dicuri daripada baki sahur. Makanan dan minuman itu diperoleh dari rumah Anjang dan dimasukkan ke dalam beg sandang kepunyaan nenek yang tersangkut di belakang pintu bilik air. Lokei yang sentiasa bermalam di rumah Anjang Sidah ketika hujung minggu, menyelinap ke dapur ketika Anjang masuk ke dalam bilik untuk sembahyang subuh. Hanya Bongkoi yang berpuasa sedangkan Lokei dan Kancil sering berpura-pura puasa ketika berada di rumah Anjang. Namun jika bapa saudaranya dari KL pulang, Bongkoi turut bermalam di rumah Anjang Sidah. Raya pada tahun ini, Mok lelakinya akan membelanjakan sepasang kasut baharu setiap seorang.

     Bongkoi duduk di haluan perahu sambil merenung sekeliling tebing. Mok yang masih berada di KL akan pulang tiga hari sebelum hari raya. Mok jugalah yang memesan agar dia mencari daun pucuk nipah untuk persediaan membuat ketupat. Apalah maknanya pagi pertama Syawal tanpa ketupat dan kari daging. Mengenangkan hal itu, air liur Bongkoi hampir meleleh. Sebelum tiba hari raya nanti, dia bercadang untuk menggunting rambut yang sudah pun menutupi pandangan matanya. Mok mengupah sebanyak RM100.00 kepadanya untuk mengambil daun pucuk nipah. Separuh upah daripada Mok diserahkan kepada ibunya. Selebihnya untuk kegunaan dia sendiri. Lokei dan Kancil juga mendapat upah yang sama daripada Mok. 

     Sejak beralih ke fasa remaja, berusia 15 tahun, dia bagaikan terasing. Terlempar di suatu zon perantaraan. Kawan sepermainannya tidak ramai. Kecuali Kancil, Bongkoi dan Lokei sudah pun selamat dikhatan. Bagi Bongkoi, menjadi kanak-kanak lebih indah, seronok dan berwarna-warni berbanding melangkah ke alam remaja yang lebih mengelirukan. Lantaran itu, Bongkoi lebih selesa berada dalam rumah dan bermain dengan sepupunya, Kancil. Apa yang menjengkelkan ialah nada suaranya telah berubah. Tetapi fizikalnya masih juga kecil dan kurus. Ketika majoriti lelaki sebaya umurnya sudah mula menunggang motor sekeliling kampung, berpakaian kemas dan ulang-alik ke pasar Kuching dengan kawan-kawan mereka, Bongkoi sebaliknya. Jarang mandi, rambut tidak bersisir, memakai pakaian yang sama setiap hari, kedua-dua kaki bercalit dengan lumpur dan tubuhnya pula berbau hanyir ikan.

     Ayahnya, yang sekadar bekerja kampung, lebih suka Bongkoi mencari duit untuk perbelanjaan keluarga daripada melilau dalam kampung dan bercampur dengan orang-orang yang tidak senonoh perangainya. Bongkoi tidak secerdas sebagaimana pelajar-pelajar lain. Cikgu mengajar di depan kelas, dia menerawang ke tempat lain. Fikiran dan emosinya mudah hanyut ke mana-mana. Berbeza pula dengan adiknya, Lokei yang akan menginjak kaki ke Tingkatan 1 tahun depan, amat lincah dan aktif bersukan. Walaupun begitu, Bongkoi, Lokei dan kakaknya pernah mendapat dua kali surat amaran daripada pihak sekolah kerana kerap ponteng. Alasannya kepada cikgu, mereka bertiga sering berjaga sehingga lewat malam dan terpaksa menjaga adik yang masih kecil. Selepas waktu persekolahan tamat, hampir setiap hari, mereka menjaja pula kuih, mi goreng dan ikan keliling kampung.

     Kancil yang selalu tersenyum dan tidak banyak mulut, memiliki dua keluarga. Emaknya berkahwin baharu setelah bercerai dengan suami pertama. Jadi, dia ada dua orang abang dan tiga orang kakak daripada ayah berlainan. Kadang-kadang dia terserempak dengan dua orang ayah pada masa yang sama dalam kampungnya. Ayah kandung dan ayah tiri. Hal itu membuatkan dia terkeliru, yang mana ayah kandung dan mengapa pula ada ayah tiri. Ia suatu yang amat pelik untuk difahaminya. Sungguhpun demikian, Kancil ramai kawan. Kancil kerap bersembahyang di surau dengan kawan-kawan yang berjiran dengannya. Apatah lagi pada bulan Ramadan. Dia bersembahyang tarawih hampir setiap malam. Dia memang menunggu, ada makanan percuma disediakan kepada jemaah yang menyempurnakan sembahyang tarawih. 

     Siapa yang menyangka bahawa sungai di dalam kampung mereka pernah berwarna kehijauan dan jernih sehingga boleh dilihat ikan-ikan berenang dengan jelas. Demikian cerita ayahnya. Bongkoi tidak tahu apa puncanya perubahan air sungai berubah menjadi sebegitu keruh dan dipenuhi longgokan sampah. Dahulu dan sekarang bagaikan dua halaman buku yang bertentangan. Semasa ayahnya masih kecil, banyak perahu penambang ke hulu ke hilir membawa penumpang dari kampung ke seberang. Sama ada untuk ke sekolah, pasar Kuching, bekerja di Simpang Tiga atau Pending, juga sekadar membeli barangan keperluan dapur di kedai-kedai kecil yang dibina dengan kayu. Pada bulan puasa, orang-orang kampung membeli ais batu di kedai Cina untuk menyejukkan air sirap selasih. Malahan, ada beberapa tragedi perahu karam bersama-sama dengan para penumpang berlaku di sungai dalam kampungnya. Pemandangan yang nostalgik itu, kini tinggal kenangan.

     Kini, datuk dan nenek pun sudah tiada lagi. Selepas nenek meninggal, beberapa tahun kemudian, datuk menyusul. Tinggallah Anjang dan Yak dalam rumah. Anjang yang mengurus rumah dua puluh empat jam. Tugasnya tentu akan bertambah sibuk pada bulan Ramadan. Menyediakan makanan untuk berbuka dan bersahur. Mok yang menetap di KL hanya pulang sekali-sekala dan setelah seminggu berada di kampung, terbang semula ke Semenanjung. Hanya sempat sungkai bersama-sama di kampung pada hari-hari terakhir bulan Ramadan. Mok bagaikan orang asing. Apa pekerjaan Mok, Bongkoi tidak tahu. Tidak seperti ayahnya yang suka menghabiskan hujung minggu dengan menyertai pertandingan karaoke. Mok lelakinya itu tidak merokok. Bermuka serius dan kata-katanya pedas apabila memberi nasihat tentang pendidikan.

     Tetapi apa yang ketara, setiap kali Mok balik, sentiasa ada buku-buku yang dibawa sekali. Buku-buku tentang falsafah, agama, sastera, sosial, politik dan pelbagai lagi bidang, menjadi bacaan Mok. Daripada pandangan mata Bongkoi, Mok seorang lelaki aneh. Berkaca mata tebal, berambut panjang, menggemari sayur pucuk paku, menyukai topik yang dihindari kebanyakan orang biasa dan apabila bercakap, sukarlah untuk Bongkoi memahami maksudnya. Bongkoi sempat diajak Mok merayau-rayau di pasar Kuching, dan apabila berada di sesuatu tempat, salah satunya Tasik Reservoir, Mok akan memberitahu bahawa semasa remaja dahulu, itulah tempat Mok selalu kunjungi untuk duduk menulis. Hairan Bongkoi memikirkannya. Mok sudah selesai bersekolah. Mengapa mesti membaca buku yang amat menyeksakan itu?

     Tanpa melengahkan masa, Lokei memasang dua bilah pendayung pada keliti dan segera membelok perahu menuju ke sebelah kiri yang membawa perahu ke muara Sungai Tabuan. Tetapi bukan di situ destinasi utamanya, mereka bukan pergi menjala udang dan mengail ikan. Misi mereka pada hari itu adalah mencari daun pucuk nipah di sepanjang tebing sungai dalam kampung mereka. Arus sungai pada ketika itu memang menghala ke muara. Maka ia mempercepatkan tempo pergerakan perahu mereka. Sekurang-kurangnya dua puluh batang daun pucuk nipah perlu diambil. Sebenarnya Mok tidak menetapkan jumlah khusus. Tetapi, siapa tahu, ada jiran yang mahu. Bolehlah dijual. Ia atas inisiatif Bongkoi sendiri. Hari raya nanti tentu banyak duit diperlukan untuk membeli itu ini. Keluarga mereka bukan sesenang seperti keluarga lain. Pendapatan ayahnya tidak menentu. Hal-hal seperti itulah yang menyebabkan Bongkoi tidak memberikan tumpuan pada mata pelajaran di sekolah

     Tugas menebang diserahkan kepada siapa lagi, kalau bukan Lokei. Bahkan Lokei sendiri yang mahu untuk melakukannya. Parang yang bakal digunakan itu kepunyaan arwah datuk. Ketinggian Bongkoi dan Lokei hampir separas. Lokeilah yang mendayung dan Lokei juga yang akan memastikan perahu mereka dimuati puluhan batang daun pucuk nipah sebelum waktu maghrib nanti. Manakala Kancil yang baru sahaja menghabiskan seketul ayam goreng, meneguk air kosong sambil tersenyum. Seketul lagi ayam goreng menjadi hak milik Lokei. Lokei mengingatkan Kancil supaya tidak menghabiskan bahagiannya itu. Bongkoi, sekali lagi menelan air liur tatkala menghidu keharuman bau ayam goreng yang kini tinggal tulang di tangan Kancil. 

     Setelah mendayung sehingga ke pangkalan Tabuan Hilir, Bongkoi belum lagi berpuas hati untuk memulakan operasi menebang daun pucuk nipah. Nampaknya sudah ada orang yang datang lebih awal daripada mereka. Dari atas perahu, Bongkoi melihat banyak daun pucuk nipah yang sudah pun ditebang sebelum ketibaan mereka. Kancil yang selesa kekenyangan duduk menyandar di bahagian tengah perahu, mengusulkan untuk ke muara sungai. Lokei menggangguk dan sekali lagi mengingatkan kepada Kancil jangan menghabiskan seketul ayam goreng kepunyaannya. Cucur bawang yang digoreng Anjang Sidah juga sudah pun dua ketul masuk ke dalam mulut Kancil yang sememangnya kuat makan itu. Bongkoi yang duduk di haluan perahu mula risau. Waktu telah beransur-ansur terang. Terpaksalah mereka bertiga mendayung lebih jauh sedikit ke hadapan, tidak jauh dari jambatan. Dan itu bermakna, mereka sudah pun menghampiri kawasan muara Sungai Tabuan. Bagaimanakah kalau mereka tidak berjaya menemui daun pucuk nipah barang sebatang dua untuk dibawa pulang? Tentu pulang nanti berlipat kali ganda rasa penatnya.

     Di seberang perahu mereka ialah Kampung Muhibbah. Bongkoi mengarahkan kepada Lokei untuk mendayung berhampiran dengan tebing. Agar pandangan Bongkoi sewaktu mengawasi dengan teliti setiap pokok nipah lebih jelas. Demi memastikan ada daun pucuk nipah di situ untuk melengkapkan misi mereka. Lokei yang langsung tidak kepenatan kerana teruja dengan tugasan mereka pada hari itu, kekal konsisten mendayung perahu. Beberapa minit kemudian, akhirnya Bongkoi memutuskan untuk berhenti. Perahu mereka bertiga memasuki anak sungai. Bongkoi berdiri menggenggam tali perahu lalu dibelitkan pada dahan pokok pedada. Jadi, perahu mereka berada dalam keadaan stabil kalau ada gelombang besar merempuh. Petua itu juga diperoleh daripada arwah datuknya. Terbukti berkesan. Lokei menikmati terlebih dahulu ayam goreng dan cucur bawang sebelum turun ke tebing dengan sebilah parang. Bongkoi turut turun sekali untuk mengutip siput yang melekat di batang pokok nipah dengan asyiknya. Kalau dapat sekilo dua, pun memadailah untuk dijual. 

     Kancil menimba air di dalam perahu sebagai seperti yang diperintahkan oleh Bongkoi. Dia boleh berenang. Tiada yang perlu ditakutkan. Di belakang rumah mereka, ada sungai. Di situlah dia belajar berenang dengan kawan-kawan sejirannya. Tetapi apabila air pasang naik melampaui paras biasa, lantai ruang tamu rumah mereka kerap dimasuki air sehingga menenggelamkan semua perabut. Wajahnya pernah terpampang di akhbar Utusan Sarawak dalam laporan kes kejadian banjir di Bahagian Kuching beberapa tahun lepas. Mengapa Bongkoi dan Lokei tidak mengambil daun pucuk nipah yang ada di tebing sungai berhampiran rumah mereka sahaja? Bukankah ia lebih dekat? Mengapa perlu mendayung sehingga sampai ke Kampung Muhibbah seberang Pending? Gila. Kalaulah tidak kerana Lokei mengumpan dengan dua ketul ayam goreng (rupa-rupanya dibahagi dua), tentu Kancil tidak berminat untuk ikut serta. Tetapi apa yang Kancil maklum daripada Bongkoi, dia juga akan menerima upah sebanyak RM100.00 daripada Mok. Wah! Banyaknya jumlah. Kancil tanpa berfikir panjang, terus bersetuju untuk menyertai sindiket pada hari itu. Barulah ada pengembaraan!

     Menjelang jam 5.00 petang, seperti tertera pada jam tangan yang dipakai Bongkoi, perahu mereka sarat dengan tiga puluh batang daun pucuk nipah dan siput sepenuh baldi. Misi mereka sudah berjaya. Mok tentu gembira kerana masih lagi berkesempatan menikmati ketupat pada pagi Syawal pertama. Dalam masa beberapa hari lagi Mok akan berada di rumah dan yang paling ditunggu-tunggu tentulah upah sebanyak RM100.00. Lokei yang baru selesai membersihkan kaki dan tangan, mengunyah sisa cucur bawang yang hampir dihabiskan oleh Kancil. Air kosong yang tinggal separuh bergolek ke kiri ke kanan di atas lantai perahu. Kancil yang leka menimba air dari perahu mendiamkan diri sahaja. Tersenyum pun tidak. Lokei memujuk Kancil dengan mencadangkannya untuk bersama-sama di rumah Anjang semasa berbuka nanti. Kononnya Anjang memasak kari daging untuk juadah sungkai pada hari itu nanti. Tetapi, Kancil dengan topi Ejen Ali yang senget ke kiri, tidak memberikan respons, tanda gembira atau tertarik. 

     Kini giliran Bongkoi pula berada di buritan perahu untuk membawa mereka balik semula ke kampung. Bongkoi menyedari muka Kancil kemerah-merahan digigit nyamuk. Memang benar, banyak nyamuk berkeliaran semasa berada di anak sungai, terutamanya di sekeliling pokok nipah. Lokei acuh tidak acuh akan perkara yang baru menimpa muka Kancil. Tiada yang hendak dihairankan. Mereka anak kampung. Bukannya anak dari taman perumahan. Lokei mengenakan cermin mata hitam yang dikutip dari tempat longgokan sampah Tabuan Jaya. Dia mendendangkan lagu, entah daripada kumpulan mana, di haluan perahu sambil mengibarkan bajunya bagaikan bendera kemenangan. Sinar matahari petang menyilaukan mata Bongkoi, tetapi dia terus mendayung perahu dan sesekali ikut sekali mendendangkan lagu yang dikumandangkan oleh Lokei di haluan perahu. 

     Hanya pada keesokan hari, selepas balik dari sekolah sesi pagi, di beranda rumah Bongkoi, secara berbisik-bisik Kancil memberitahu bahawa ada dua ekor buaya bersaiz besar memerhati mereka bertiga pada petang semalam. Dua ekor buaya itu bersembunyi di balik pokok nipah yang tidak didekati oleh Lokei. Bongkoi membulatkan mata namun tangannya masih memegang parang. Daun pucuk nipah sudah dileraikan dan akan diikat dengan tali sebelum dihantar ke rumah Anjang. Bongkoi meninggikan nada suara, mengapa Kancil tidak memaklumkan lebih awal. Kancil tergamam dan tidak tahu untuk berkata apa-apa pada detik itu. Dia seolah-olah dipukau dek kerana ketakutan. Semalaman Kancil mengigau tentang buaya yang menelan mereka bertiga. Kedua-dua belah tangan Bongkoi putus, sebelah kaki Lokei dirobek dan Kancil sudah pun berada dalam perut buaya. Bongkoi tidak tersenyum mendengar mimpi ngeri Kancil. 

     Apakah akan terjadi jika hal itu benar-benar berlaku? Tiada sesiapa yang tahu di mana mereka berada. Jauh terbenam dalam perut sang bedal. Demi mengelakkan sebarang keriuhan meletus, Kancil dan Bongkoi merahsiakan hal itu. Anjang tidak boleh tahu. Ibu bapa mereka juga tidak boleh tahu. Lokei juga tidak boleh dimaklumkan. Tiada sesiapa boleh tahu. Dia dan Bongkoi perlu mengunci mulut serapat-rapatnya. Kancil mengeluh dan melepaskan nafas berbau Maggi kari. Kancil tiba-tiba menunjukkan reaksi gembira. Semua orang tidak boleh tahu rahsia itu tetapi mungkin Mok lelakinya berminat untuk tahu. Jika Mok ingin menulis kisah itu, nama mereka perlu disertakan sekali dalam tulisan itu nanti. Bongkoi ketawa tetapi berhenti secara mendadak. Rupa-rupanya Kancil ada agenda yang tersendiri. Gila publisiti. Syukurlah, kata Bongkoi juga dengan berbisik-bisik di depan Kancil, yang mukanya masih lagi kemerah-merahan. Mereka sampai di rumah dalam keadaan selamat. 

 
 
Advertisement