Anda di sini

Lelaki gagal hadir sebutan kes dadah dikenakan waran tangkap

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki yang dituduh menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa telah dikeluarkan waran tangkap oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Waran tangkap itu dikeluarkan Majistret Randu Rangen setelah mendapati tertuduh, Mohd Haziq Fahtuddin Samsudin gagal hadir untuk sebutan kes.

Mahkamah kemudian memerintahkan waran tangkap ke atas tertuduh dikembalikan pada 20 Mei depan.

Mohd Haziq, 35, dari Jalan Taman Delight 1A, Taman Delight di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang, 9 Mac 2023 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain.

  • oleh
  • Advertisement