Anda di sini

Leverkusen kekal rekod tanpa kalah kepada 46 perlawanan

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Bundesliga Jerman di antara Leverkusen dan Stuttgart di Leverkusen, barat Jerman. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Bundesliga Jerman di antara Leverkusen dan Stuttgart di Leverkusen, barat Jerman. — Gambar AFP

LEVERKUSEN: Robert Andrich menjaringkan gol pada sentuhan terakhir perlawanan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Bayer Leverkusen kepada 46 perlawanan musim ini selepas seri 2-2 dengan Stuttgart ketika Harry Kane menghampiri rekod gol Bundesliga Jerman pada Sabtu.

Dengan Leverkusen berdepan kemungkinan kekalahan pertama mereka musim ini apabila ketinggalan 1-2 sehingga  minit kecederaan, Andrich merembat bola muntah untuk mengikat kedudukan pada saat terakhir permainan.

Gol itu mengekalkan rekod gol lewat Leverkusen, dengan skuad kendalian Xabi Alonso juga bangkit dari ketinggalan dengan gol lewat ketika seri 1-1 dengan Borussia Dortmund minggu lepas.

Dua gol dalam tempoh sembilan minit selepas rehat oleh Chris Fuehrich dan Deniz Undav meletakkan Stuttgart di landasan untuk menjadi pasukan pertama menewaskan Leverkusen musim ini, dengan Amine Adli merapatkan kedudukan pada minit ke-61.

Leverkusen mengasak bertalu-talu tetapi gagal memecah kebuntuan dan harapan menjadi pasukan pertama yang mengharungi satu musim penuh Bundesliga Jerman kelihatan berakhir.

Tetapi mereka kemudian memperolehi satu tendangan percuma, dengan rembatan Florian Wirtz melencong masuk ke kotak penalti di mana Andrich berjaya merembat bola muntah untuk gol penyamaan.

Leverkusen sekarang sudah menang atau mengikat kedudukan sebanyak 10 kali dalam minit kecederaan untuk semua pertandingan musim ini.

“Kami mencuba sehingga ke akhirnya,” kata Alonso. “Gol pertama Amine memberikan kami kepercayaan dan juga usaha.”

Jurulatih Stuttgart, Sebastian Hoeness berkata kehilangan dua mata itu adalah “sukar untuk dipercayai... dari pandangan kami, ia keputusan malang buat kali.”

Kane menjaringkan dua gol ketika Bayern Munich menang 2-1 ke atas Eintracht Frankfurt dan mencipta rekod peribadi gol baharu dalam satu musim.

Kane menjaringkan gol dalam kedua-dua babak, menyempurnakan hantaran Konrad Laimer dan menyempurnakan satu penalti untuk koleksi 35 gol liga dari 31 perlawanan.

Kane kini kurang enam gol untuk rekod gol Bundesliga Jerman dalam satu musim yang dipegang bekas penyerang Bayern, Robert Lewandowski pada musim 2020/2021. Dia sudah menjaringkan rekod peribadi 42 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Pada perlawanan lain, Borussia Dortmund, yang turut beraksi di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara apabila menanti kunjungan Paris Saint-Germain  (PSG) Rabu ini, tewas 1-4 di RB Leipzig.

Jadon Sancho meletakkan Dortmund di hadapan tetapi gol itu membakar semangat Leipzig, yang mengikat kedudukan tidak lama selepas itu apabila Lois Openda menyempurnakan hantaran Xavi Simons untuk gol peribadi ke-24 musim ini.

Leipzig kemudian menjaringkan dua gol pantas di antara masa rehat menerusi gol Benjamin Sesko dan Mohamed Simakan sebelum Christoph Baumgartner melengkapkan jaringan ketika berbaki 10 minit permainan untuk meletakkan Leipzig berkelebihan lima mata di hadapan Dortmund di tangga keempat liga, kedudukan yang menjamin kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan walaupun Bundesliga Jerman berkemungkinan diberikan lima slot ke Liga Juara-Juara pada musim hadapan.

Werder Bremen menang 3-0 di Augsburg menerusi gol Romano Schmid, Olivier Demand dan penalti Marvin Ducksch sementara Wolfsburg semakin hampir untuk mengekalkan status dalam Bundesliga Jerman musim hadapan apabila menewaskan Freiburg 2-1. — AFP

Advertisement