Anda di sini

Pelajar luar bandar kurang peluang bangunkan kemahiran digital: KPM 

Advertisement


Ini meletakkan mereka pada kedudukan terjejas dalam dunia yang dipacu teknologi masa kini

FADHLINA
FADHLINA

MIRI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengakui pelajar di kawasan luar bandar termasuk di Sarawak, mempunyai kurang peluang untuk membangunkan kemahiran digital berbanding rakan sebaya di bandar disebabkan faktor sosioekonomi yang lebih rendah. 

Menterinya Fadhlina Sidek mendedahkan, keadaan ini telah meletakkan pelajar di luar bandar pada kedudukan yang terjejas dalam dunia yang dipacu teknologi masa kini.

"Laporan Skor Kompetensi Digital (Digital Competency Score - DCS) murid pada tahun 2023 menunjukkan bahawa purata skor bagi murid sekolah luar bandar adalah sebanyak 3.24/5.00 berbanding purata skor kebangsaan sebanyak 3.31 manakala purata skor bagi murid sekolah bandar menunjukkan skor yang lebih tinggi iaitu sebanyak 3.34/5.00," katanya. 

Fadhlina mendedahkan perkara itu semasa menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man di Dewan Rakyat, hari ini yang meminta KPM menyatakan cabaran berkaitan jurang antara sekolah di luar bandar dan bandar dari sudut pendigitalisasi dan penggunaan teknologi baharu.

"Antara cabaran yang dihadapi oleh sekolah luar bandar meliputi kemahiran literasi digital yang lebih rendah. 

"Bagaimanapun, KPM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan jurang digital sekolah di luar bandar dan bandar adalah minimum dengan melengkapkan semua sekolah dengan akses Internet berkelajuan tinggi, peranti digital dan kemudahan IT yang lain secara berperingkat," jelas Fadhlina lagi.

Katanya, KPM telah menyediakan capaian jalur lebar Internet dengan kelajuan 30Mbps hingga 300Mbps untuk 10,237 sekolah di bawah KPM. 

Sebanyak 4,957 sekolah disediakan dengan talian gentian optik, 4,681 sekolah disediakan talian jalur lebar tanpa wayar 4G dan 599 sekolah disediakan dengan talian satelit. 

Pada masa ini, capaian Internet di sekolah meliputi makmal komputer, bilik guru dan pejabat pentadbiran. 

"Di samping itu, KPM juga sedang melengkapkan perkakasan ICT di makmal komputer sekolah secara berfasa yang melibatkan pembekalan komputer riba (21 unit), pencetak multifunction (satu unit), projektor (satu unit) dan charging cart (satu unit). 

"Fasa 1 projek ini telah selesai dilaksanakan pada tahun 2022 yang melibatkan 3,851 sekolah manakala Fasa 2 pula telah selesai pada tahun 2023 bagi 3,455 sekolah," katanya. 

"Fasa 3 projek ini yang melibatkan 3,885 sekolah dan dijangka selesai pada bulan Mac 2024," tambahnya. 

Beliau menambah, bagi melancarkan lagi proses PdP melalui platform pembelajaran DELIMa, KPM juga telah mendapatkan lesen perisian G Suite Enterprise For Education (GSEfE) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 9 Julai 2021 hingga 8 Julai 2024. 

Ini melibatkan pembekalan bagi sekolah-sekolah di bawah KPM dengan bilangan sebanyak 109,522 unit lesen berbayar dan 4.5 juta unit lesen diberikan secara percuma untuk penggunaan guru dan 
pelajar.

Seterusnya, KPM telah menyediakan sebanyak 50,000 komputer riba kepada guru bagi menyokong peranan mereka dalam mendidik anak-anak selaras dengan arus pemodenan teknologi digital. 

"Untuk makluman komputer riba ini telah selesai dibekalkan kepada guru pada Januari 2024. 

"Komputer riba ini akan diagihkan berdasarkan kadar bilangan guru di sekolah dan akan digunakan secara guna sama oleh guru di sekolah," ujar beliau. 

Selain itu, bagi meningkatkan penerima gunaan teknologi digital dalam ekosistem pembelajaran, pelaksanaan rintis kelas hibrid telah dilaksanakan untuk 110 institusi pendidikan terpilih yang melibatkan 550 kelas.

  • oleh
  • Advertisement