Anda di sini

Petani maut motosikal langgar lori rosak 

Advertisement


Kemalangan berlaku di Kilometer 23, Jalan Sri Aman-Kuching, Sri Aman hari ini

MATHEW
MATHEW

KUCHING: Seorang petani maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 23, Jalan Sri Aman-Kuching, Sri Aman hari ini.

Mangsa Angki Aleng, 66, beralamat di Skim Skrang, Sri Aman.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata, kemalangan berkenaan berlaku sekitar jam 7.30 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang lelaki terbabit bergerak dari arah Sri Aman menuju ke pekan Lachau, Sri Aman.

"Kemalangan berlaku apabila mangsa ketika sedang bergerak lurus telah melanggar tayar bahagian belakang sebelah kanan lori yang rosak dan di parkir di tepi jalan di sebelah lorong kiri. 

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepada dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas terlibat dalam kemalangan terbabit.
Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas terlibat dalam kemalangan terbabit. - Gambar polis

Dalam pada itu, terdapat dua saksi bebas iaitu rakan sekerja mangsa yang masing-masing menaiki motosikal sendiri secara beriringan bersama mangsa dalam perjalanan dari Sri Aman menuju ke tempat kerja mereka di pekan Lachau.

"Saksi mengatakan ketika melalui lokasi kejadian, mereka ada melihat dahan pokok dan kon segitiga di atas jalan laluan lori berkenaan.

"Mereka (saksi) telah mengelak dari jalan tersebut dan menggunakan laluan sebelah kanan tetapi mangsa yang berada di hadapan mereka terus bergerak sebelum terlanggar bahagian tayar belakang sebelah kanan lori terbabit," kata Matthew.

Mengulas lanjut, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati lori yang mengalami kerosakan pada jam 6 pagi itu dalam perjalanan dari Sri Aman ke Kuching. 

"Lori yang dipandu lelaki berusia 50 tahun itu telah di parkir di tepi laluan sebelah kiri dan memasang dua unit kon segitiga serta beberapa dahan pokok dalam jarak lebih kurang 60 meter dari lori berkenaan," tambahnya.

Ujarnya, kes di siasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 

  • oleh
  • Advertisement