Anda di sini

PETRONAS salur sumbangan kesihatan, pendidikan di Sabah

Advertisement
 Masidi (belakang, lima kiri) bersama Mohd Bakke (belakang, tiga kiri) dan tetamu jemputan lain merakamkan kenangan bersama pelajar yang menerima tajaan pendidikan PETRONAS.
TAJAAN: Masidi (belakang, lima kiri) bersama Mohd Bakke (belakang, tiga kiri) dan tetamu jemputan lain merakamkan kenangan bersama pelajar yang menerima tajaan pendidikan PETRONAS.

KOTA KINABALU: PETRONAS melalui cabang impak sosialnya Yayasan PETRONAS menyampaikan sumbangan sebanyak 250 unit pam infusi desferal kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) yang akan digunakan bagi merawat pesakit talasemia.

Pada masa sama, PETRONAS melalui anak syarikatnya PETRONAS Floating LNG turut menyampaikan tajaan pendidikan kepada 24 pelajar Tingkatan 4 di Sabah. 

Tajaan berkenaan adalah kesinambungan kepada Program Memperkasakan Ilmu yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama Yayasan Sabah sejak tahun lepas.

Program berkenaan bertujuan memupuk bakat tempatan bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan tenaga kerja jangka panjang di Sabah.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun diiringi Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh menyaksikan acara penyampaian sumbangan serta tajaan berkenaan pada majlis Ramah Mesra Hari Raya PETRONAS Sabah di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Shariah Nelly Francis menyerahkansumbangan peranti perubatan berkenaan kepada Pengarah YKS Dayang Rugayah Awang Besar manakala, Naib Presiden Kanan Aset LNG PETRONAS Abang Yusuf Abang Puteh menyampaikan tajaan kepada pelajar.

Sumbangan peranti perubatan itu adalah sebahagian daripada Program Memacu Kehidupan oleh Yayasan PETRONAS yang dilaksanakan dengan kerjasama YKS dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi membantu meringankan beban penghidap talasemia dalam mendapatkan rawatan.

YKS akan meminjamkan pam infusi berkenaan kepada pesakit talasemia di seluruh negeri terutamanya mereka yang tidak mampu membeli peranti mereka sendiri, bagi membolehkan mereka menjalani infusi desferal di rumah.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dan Naib Presiden Kanan PETRONAS Pengurusan Petroleum Malaysia Datuk Bacho Pilong.
 

Advertisement