Anda di sini

Rak trofi EPL Liverpool ‘berdebu’

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara West Ham dan Liverpool di Stadium London. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara West Ham dan Liverpool di Stadium London. — Gambar AFP

LONDON: Harapan Liverpool mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris semakin tipis selepas West Ham United menjaringkan gol penyamaan 2-2 sementara Sheffield United disahkan tersingkir dari Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.

Pada hari penuh drama, harapan Aston Villa memburu empat tangga teratas liga terjejas apabila seri 2-2 ketika pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino mendakwa video bantuan pengadil (VAR) “merosakkan Liga Perdana” selepas pasukannya dinafikan gol kemenangan lewat.

Dan impian Manchester United untuk memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara juga terkesan apabila seri 1-1 dengan Burnley namun Everton mengesahkan terus kekal dalam Liga Perdana Inggeris selepas menang 1-0 ke atas Brentford.

Tempoh gemilang Jurgen Klopp sebagai pengurus Anfield kelihatan akan berakhir dengan hambar selepas pasukannya tercicir lagi mata untuk kali keempat dalam lima perlawanan liga.

Liverpool boleh berkongsi mata dengan pendahulu liga, Arsenal jika menewaskan West Ham, mungkin untuk seketika namun mereka gagal mengambil sepenuh peluang.

Arsenal mengumpul 77 mata, dua mata di hadapan Liverpool dan kurang satu perlawanan sementara juara bertahan, Manchester City, mengumpul 76 mata dan kurang dua perlawanan berbanding Liverpool.

Jarrod Bowen meletakkan West Ham di hadapan tidak lama sebelum rehat  tetapi Liverpool kelihatan skuad yang berbeza dalam separuh masa kedua dengan Andy Robertson mengikat kedudukan sebelum gol sendiri penjaga gol West Ham, Alphonse Areola meletakkan Liverpool di hadapan buat kali pertama.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-77 apabila Bowen tidak dikawal di sayap kanan sebelum melakukan umpanan kemas yang ditanduk masuk Michail Antonio.

Klopp menolak insiden perbalahan dengan penyerang Mohamed Salah, yang tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama tetapi penyerang antarabangsa Mesir itu membangkitkan persoalan.

“Akan ada yang panas jika saya bercakap hari ini,” katanya ketika memberitahu wartawan.

City, yang bermain lewat di Nottingham Forest, masih menjadi pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut sementara Arsenal berdepan perlawanan sukar di Tottenham, pasukan yang bersaing memburu empat tangga teratas liga.

Pada perlawanan lain, kemenangan 5-1 Newcastle United mengesahkan Sheffield United kembali semula ke Liga Kejuaraan selepas satu musim dan meningkatkan peluang mereka untuk memburu kelayakan ke bola sepak Eropah musim hadapan.

Anel Ahmedhodzic meletakkan Sheffield di hadapan di St James’ Park tetapi Alexander Isak menjaringkan dua gol untuk memulakan kebangkitan pasukannya.

“Kami tidak cukup bagus,” kata pengurus Sheffield, Chris Wilder. “Liga ini terlalu kuat bagi kami sepanjang musim.”

Newcastle kekal di tangga ketujuh liga tetapi hanya satu mata di belakang Manchester United, yang bolos gol penyamaan lewat ketika seri 1-1 dengan Burnley.

Antony menjaringkan gol liga yang pertamanya musim ini untuk meletakkan United di hadapan sebelum Zeki Amdouni mengikat kedudukan dari satu tendangan penalti minit ke-87, sekali gus memberikan harapan untuk Burnley mengelak penyingkiran.

Pengurus United, Erik ten Hag berkata pasukannya, yang kebiasaannya mensia-siakan pendahuluan gol, “menghadiahkan satu mata” kepada lawan.

Villa, yang  berada di tangga keempat liga, mensia-siakan kelebihan dua gol selepas gol sendiri Marc Cucurella seawal minit keempat dan gol Morgan Rogers pada minit ke-42 untuk meletakkan pasukan tuan rumah selesa di Villa Park.

Noni Madueke merapatkan kedudukan buat Chelsea pada minit ke-62 sebelum Conor Gallagher menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81 tetapi gol minit kecederaan Axel Disasi tidak dibenarkan oleh pengadil ekoran kekasaran dilakukan oleh Benoit Badiashile.

“Bagi saya, ia telah merosakkan sedikit Liga Perdana dan bola sepak Inggeris. Jika kami mahu menjadi liga terbaik di dunia, ia seharusnya melindungi keputusan dan persembahan,” kata Pochettino.

“Pengadil cukup luar biasa dan ia tidak masuk akal. Ia sukar untuk diterima.”

Villa kini tujuh mata di hadapan Tottenham dalam saingan kelayakan ke Liga Juara-Juara tetapi Tottenham kurang tiga perlawanan.

Everton mengesahkan akan terus beraksi dalam Liga Perdana Inggeris musim hadapan apabila Idrissa Gueye menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-60 untuk kemenangan keempat dari lima perlawanan terakhir buat skuad kendalian Sean Dyche, yang dipotong lapan mata musim ini kerana melanggar peraturan kewangan liga.

Wolves menyukarkan lagi harapan Luton Town mengelak penyingkiran apabila menang 2-1 sementara Fulham seri 1-1 dengan Crystal Palace. — AFP    

Advertisement