Anda di sini

RM83,000 diperuntukkan ADUN Lumadan bagi membiayai pemasangan sistem solar di Kg Nabahan

Advertisement
 Ruslan berkata sesuatu kepada pemberita ketika ditemui pada majlis itu di Kg Nabahan.
SIDANG MEDIA: Ruslan berkata sesuatu kepada pemberita ketika ditemui pada majlis itu di Kg Nabahan.


WESTON: Sebanyak RM83,000 diperuntukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam bagi membiayai pemasangan sistem solar di Kampung Nabahan dekat sini.


Mengulas lanjut, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, sebanyak sembilan buah rumah penduduk bakal menerima manfaat sistem solar termasuk sebuah surau dan sebuah astaka.


Projek komuniti itu katanya, melibatkan bantuan untuk golongan miskin tegar yang turut mendapat kerjasama daripada Kolej Komuniti Beaufort Sabah (KKBS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM) beberapa institusi lainnya.


"Projek ini melibatkan pemasangan dua buah lampu dan kipas angin untuk setiap sembilan buah rumah ini, manakala bagi surau dan astaka masing-masing empat buah lampu, dua kipas serta enam buah lampu dan tiga kipas.


"Selain projek ini yang akan dilaksanakan pada Mei depan, pihak yang bekerjasama ini akan turut melaksanakan Program Pembangunan Produk Keusahawanan Sosial di kampung ini.


"Program ini melibatkan latihan keusahawanan, pembangunan produk termasuk promosi dan pemasaran produk setempat yang berpotensi menjana ekonomi tambahan," katanya.

 Ruslan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada ketua keluarga sempena majlis itu.
SERAH: Ruslan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada ketua keluarga sempena majlis itu.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Projek Keusahawanan Sosial Solar Komuniti Beaufort (Sofcom@BFORT) di Kg Nabahan, baru-baru ini.


Dalam pada itu, Ruslan berkata program berkenaan memberi banyak manfaat bukan saja kepada golongan miskin tegar terpilih tetapi turut merangkumi kepentingan seluruh masyarakat di kampung itu dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan itu.


"Kampung Nabahan belum mempunyai kemudahan bekalan elektrikal dan air yang sempurna sebagaimana kawasan lainnya kerana terletak di kawasan terpencil berdekatan Sungai Weston.


"Laluan utama untuk ke sana hanya menggunakan bot atau perahu dan pekerjaan utama penduduk adalah sebagai nelayan yang semua maklum hanya berharap hasil laut yang tidak seberapa.


"Justeru, saya amat menghargai usaha semua pihak yang terlibat dalam program komuniti ini yang sudah tentu bakal membantu dan mengubah taraf sosial ekonomi penduduk di Kampung Nabahan ini," katanya.


Jelasnya, beliau bercadang memperluaskan program sama di kawasan lainnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan bagi bersama pihak Kerajaan Negeri mencapai 'sifar' miskin di Sabah.
 

  • oleh
  • Advertisement