Anda di sini

Sokongan STAR Klias beri petanda GRS mampu raih kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang: Robert

Advertisement
 Robert bersama sebahagian ahli dan pimpinan STAR Bahagian Klias menunjukkan isyarat bagus selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan STAR Bahagian Klias.
ALBUM: Robert bersama sebahagian ahli dan pimpinan STAR Bahagian Klias menunjukkan isyarat bagus selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan STAR Bahagian Klias.


BEAUFORT: Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Robert Tawik yakin sokongan yang ditampilkan ahli dan pimpinan STAR Bahagian Klias dalam Mesyuarat Agung Tri-Tahunan STAR bahagian itu baru-baru ini memberi petanda jelas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Mengulas lanjut, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata antara faktor yang menjadi kekuatan parti itu adalah kerana perjuangan lantang Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan demi rakyat Sabah.


"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kepimpinan STAR Bahagian Klias kerana telah melaksanakan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan STAR sesi 2024-2027 serta sudi menjemput saya menyempurnakan perasmian majlis ini.


"STAR Bahagian Klias harus diberi pujian dan pengiktirafan daripada pucuk pimpinan kerana Mesyuarat Agung Tri-Tahunan STAR ini amat penting kepada parti dalam usaha menguatkan lagi kedudukan parti agar terus bersemangat dalam perjuangan.


"Saya yakin dan percaya dengan kehadiran ahli-ahli STAR yang ada pada hari ini, ia mencerminkan STAR yang dipimpin oleh Jeffrey mendapat sambutan dan sokongan yang begitu menggalakkan di bahagian itu termasuklah di seluruh Sabah, " katanya.


Robert berkeyakinan dengan sokongan yang diterjemahkan dalam mesyuarat itu, ia sudah tentu memberi isyarat kepada GRS bahawa gabungan itu akan memperolehi kemenangan yang besar dalam PRN akan datang.


Dalam perkembangan berkaitan, Robert juga percaya kerjasama politik yang dibentuk STAR bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) baru-baru ini yang dikenali sebagai BERSATU-SOLIDARITI (BEST) akan memberi kekuatan secara tidak langsung kepada GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


"Dengan termeterainya memorandum kerjasama politik BEST, ia sudah pasti akan menyumbang kepada kemenangan yang lebih besar kepada GRS, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement